malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dari 47 syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan hanya 4 kukuh - Audit
ADS

Pengauditan oleh Jabatan Audit Negara terhadap 47 syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang dapat dinilai berdasarkan penyata kewangan beraudit mendapati empat syarikat adalah kukuh, 33 stabil dan 10 kurang stabil.

Syarikat yang didapati kukuh adalah Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), Prokhas Sdn Bhd, MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd.

Menurut Jabatan Audit Negara, peningkatan dalam liabiliti syarikat MKD pada 2018 berbanding 2016 menggambarkan kebergantungan syarikat kepada hutang/pinjaman.

"Selain itu, liabiliti luar jangka adalah tinggi dengan jumlah RM13.178 bilion," kata jabatan itu dalam Laporan Ketua Audit Negara Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Tahun 2018 Siri 2.

Penilaian terhadap kedudukan kewangan bagi syarikat pegangan ekuiti majoriti kerajaan bagi tempoh tahun 2016 hingga 2018 itu mendapati kedudukan tunai 26 syarikat (54.2 peratus) pada kadar nisbah di bawah satu merupakan indikator syarikat memerlukan bantuan kewangan kerajaan.

Analisis kewangan dan pemantauan terhadap syarikat MKD turut mendapati nisbah pulangan atas ekuiti adalah kurang memuaskan di mana 47 syarikat (97.9 peratus) mencapai pulangan di bawah kadar satu.

Jabatan itu berkata penggunaan 41.2 peratus dana pinjaman kerajaan bagi membayar semula pinjaman kepada kerajaan termasuk pertukaran pinjaman kepada ekuiti menunjukkan keupayaan kewangan syarikat yang lemah dan masih bergantung kepada bantuan kerajaan.

"Prestasi penggunaan sukuk/bon oleh syarikat MKD adalah kurang cekap di mana 33 peratus digunakan bagi menampung penebusan sukuk matang, membayar balik pinjaman serta keuntungan sukuk/pinjaman dengan jumlah RM23.097 bilion.

"Peningkatan terbitan sukuk/bon pada tahun 2018 sejumlah RM12.040 bilion bagi membiayai projek infrastruktur menunjukkan keupayaan kewangan kerajaan yang terbatas," kata jabatan itu.

- Bernama

Lihat Komen