Pengiklanan

    Adun DAP anjur pertandingan khat Jawi dan Cina

    (Dikemaskini )
    Fadhli Sulaiman  |  Berita

    Seni kaligrafi sudah tidak ada daya tarikan? Ternyata tanggapan itu hanyalah omong kosong.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Bharu, Selangor, Lee Kee Hiong, 53, tampil menganjurkan pertandingan seni kaligrafi Jawi dan tulisan Cina, yang disertai lebih 100 peserta.

    Pertandingan itu mendapat sambutan memberangsangkan dari pelbagai lingkungan umur dan bangsa.

    Pesertanya pula sanggup datang dari negeri Johor, Melaka, Kelantan dan Perak untuk menyertai pertandingan itu di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

    Menurut Lee, pertandingan itu bertujuan untuk memeriahkan kawasan yang ditadbirnya kerana Kuala Kubu Bharu merupakan kawasan pekan yang jauh dari arus pemodenan.

    “Saya mahu jadikan Kuala Kubu Bharu sebagai pekan seni, sebab tempat kita sunyi.

    “Masa pertengahan tahun ini, saya fikir mahu buat pertandingan kaligrafi Cina sahaja sebab senang untuk diuruskan.

    “Kebetulan semasa saya melawat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya dapat idea untuk buat tulisan Jawi juga,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

    Antara peserta pertandingan khat Cina

    Semalam, Pusat Khidmat Adun Kuala Kubu Bharu mengadakan pertandingan Seni Khat Jawi dan Kaligrafi Cina Terbuka 2019 dengan kerjasama DBP.

    Acara itu menggunakan tema Bersatu dalam kepelbagaian.

    Kaligrafi Tamil tidak dipertandingkan kerana beliau tidak bertemu ramai pakar dalam seni itu untuk tulisan Tamil.

    Demonstrasi khat tulisan India

    Bagaimanapun seorang pakar kaligrafi Tamil, Dr Velu Perumal yang juga pensyarah kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), diundang bagi menunjukkan demonstrasi seni itu.

    ‘Penyatuan semua bangsa’

    Lee berharap acara sebegitu dapat menjadi penghubung kepada semua bangsa.

    “Saya rasa ramai rakyat Malaysia menghargai budaya yang ada daripada pelbagai kaum.

    “Kita tidak boleh berpecah belah (contohnya) orang Melayu buat seni kemelayuan sahaja, Cina dengan Cina saja dan Tamil dengan tulisan Tamil saja.

    “Tidak ada penyatuan. Jadi (pertandingan ini), saya integrasikan sekali sebagai satu langkah permulaan yang baik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

    Lee Kee Hiong

    Tambah Lee, setiap peserta dinilai oleh pakar-pakar seni kaligrafi Jawi dan Cina.

    Peserta yang menjuarai pertandingan tersebut memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, manakala naib juara, RM800 dan tempat terakhir RM500.

    “Seramai sepuluh peserta bagi setiap kategori turut memperoleh sagu hati dalam pertandingan tersebut,” katanya.

    Ogos lalu, isu berkaitan pengenalan tulisan Jawi hangat diperdebatkan selepas kerajaan mahu memperkenalkannya bagi murid tahun empat di sekolah Cina dan Tamil.

    Ia ditentang hebat pelbagai pemimpin politik bukan Melayu dan kumpulan masyarakat sivil terutamanya Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong).

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih