Pengiklanan

    Syarikat pelaburan Risda guna overdraf RM51.9j untuk langsai bayaran

    (Dikemaskini )
    Berita

    Syarikat pelaburan bagi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) membuat overdraf bank sebanyak RM51.94 juta bagi melangsaikan bayarannya di antara 2016 ke 2018.

    Sebuah laporan Jabatan Audit Negara mendapati overdraf oleh Permodalan Risda Berhad (PRB) digunakan untuk membuat bayaran pendahuluan kepada anak syarikat dan malahan membayar overdraf bagi transaksi terdahulu.

    Overdraf sebanyak RM26.57 dibuat dari Public Islamic Bank Berhad (PIBB). Permodalan Risda juga membuat overdraf sebanyak RM15.13 juta daripada bank sama pada 2017.

    Overdraf juga dibuat dengan bank CIMB, berjumlah RM8.49 juta pada 2016 dan RM1.75 juta pada 2017.

    Jumlah yuran yang dikenakan adalah RM1.39 juta.

    Pada 2017, RM10 juta overdraf dari PIBB digunakan untuk membayar overdraf CIMB, yang mana telah ditamatkan khidmatnya oleh PRB kerana mendapat tawaran yang lebih baik daripada PIBB.

    Overdraf sebanyak RM500,000 juga digunakan untuk membayar PIBB pada 2018.

    Sementara itu, RM20.45 juta juga diberikan sebagai bayaran pendahuluan kepada anak syarikat PRB Grid Technology Solutions Sdn Bhd, tanpa sebarang caj atau tarikh pembayaran balik. Pendahuluan ini tidak dibayar pada Jun 2019.

    PRB juga menggunakan RM6.5 juta untuk membiayai pinjaman peribadi yang dipohon oleh kakitangan kumpulan Risda.

    Sehingga 2018, RM39.61 juta daripada overdraf masih belum dibayar balik.

    Mengulas laporan audit, PRB mempertahankan penggunaan overdraf sebagai langkah sementara yang merupakan sebahagian daripada strategi pengurusan perniagaan dan aliran tunai.

    Bagaimanapun, Jabatan Audit Negara berkata penggunaan overdraf menunjukkan PRB tidak cekap dalam menguruskan kewangannya.

    [Baca berita asal]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih