malaysiakini logo
story-image
ADS

Menteri Kerja Raya Baru Bian enggan mengulas keputusan PKR memecat bekas setiausaha politiknya Zakaria Abd Hamid ekoran dakwaan rasuah.

"Tiada soalan politik hari ini," katanya ketika ditanya pemberita tentang isu itu, dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ia selepas beliau menyaksikan penyerahan surat setuju terima kepada kontraktor dan perunding projek Lebuh Raya Pan Borneo di Kementerian Kerja Raya.

Zakaria yang merupakan bekas ketua cabang PKR Bera dipecat pada 24 November lalu selepas parti itu menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 24 Oktober 2019.

Beliau didakwa menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 dalam satu pertemuan dengan pemimpin akar umbi PKR pada 1 September 2018, ketika bertanding untuk kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Ketika itu Baru dilaporkan berkata jika dakwaan itu terbukti benar, ia tidak boleh diterima dan perlu disiasat.

Zakaria bagaimanapun berkata beliau tidak diberi peluang membela diri sebelum pemecatannya dibuat.

Dalam sidang media hari ini, Baru juga enggan mengula soalan berkaitan pergeseran dalaman PKR, antara kem presiden Anwar Ibrahim dan kem timbalannya Azmin Ali.

"Saya tiada komen, jangan tanya tentang politik," katanya.

Pemberita juga bertanya tentang spekulasi kemungkinan satu kongres lain akan dibuat oleh penyokong Azmin di Kuala Lumpur, terpisah daripada kongres PKR yang dijadual diadakan di Melaka pada hujung minggu ini.

"Saya tak mahu komen tentang itu," katanya.

Jawapan sama diberikan ketika ditanya sama ada beliau tahu-menahu berkenaan spekulasi itu.

Semalam Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata hanya ada satu kongres untuk parti itu, iaitu yang akan diadakan di Melaka pada 5 hingga 8 Disember.

Lihat Komen