malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pertemuan PKM: Saya pun risau, kata Muhyiddin
ADS

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin hari ini menyuarakan kebimbangan dengan trend semasa yang membabitkan isu komunis hingga menimbulkan perasaan tidak baik di kalangan rakyat.

Justeru, Muhyiddin meminta semua pihak perlu menghormati kepelbagaian kaum, latar belakang dan keturunan yang ada di negara ini yang sememangnya sudah aman damai.

Kata Muhyiddin, pihaknya tidak boleh memandang ringan perkara terbabit kerana Malaysia sudah merdeka maka mengapa himpunan terbabit boleh berlaku.

“Saya pun rakyat malaysia. Jadi sebagai rakyat Malaysia saya pun risau. Kadang-kadang lebih dari risau kenapa mutakhir ini ada trend sebegini.

“Apakah negara kita sudah matang dari segi demokrasi, nak buat apa suka, siapa nak menunjukkan perasaan tertentu boleh buat sebegitu atau pun ada kesan lain?

“Apa yang penting bagi saya, sebagai menteri bertanggungjawab nak menentukan negara kekal aman sejahtera tiada pergolakan dan perkara yang boleh menimbulkan perasaan tidak baik di kalangan rakyat, itu penting untuk dipertimbangkan.

“Dalam mengatakan kita bebas boleh buat apa sahaja, kita nak kaji sekiranya apa yang dilakukan membawa kesan yang tak baik kepada negara dan di situlah, pihak kementerian memandang berat perkara sebegitu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian mengulas mengenai pertemuan sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang, semalam.

Acara bekas anggota PKM yang turut dihadiri pemimpin politik

Awal pagi semalam dilaporkan, sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menganjurkan acara di Kajang untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang ditandatangani pada 2 Dis 1989.

Acara serupa juga akan diadakan di Hat Yai malam ini.

Penandatanganan perjanjian antara PKM dengan kerajaan telah menamatkan pemberontakan komunis selama 21 tahun di Malaysia dan membawa kepada pembubaran PKM.

Seramai 300 orang, kebanyakannya warga tua, menghadiri majlis memperingati perjanjian itu.

Ekoran daripada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya kini sedang menyiasat penganjuran program tersebut.

Mengulas lanjut berhubung langkah yang boleh dilakukan, Muhyiddin berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan bahagian risikan untuk melengkapkan siasatan penuh seberapa segera.

"Saya harap dalam minggu ini, polis dapat segerakan laporan berikutan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana pelbagai benda boleh berlaku jika dibiarkan.

"Rakyat Malaysia mahu tahu perkara sebenar dan mereka tidak mahu cerita bohong atau palsu. Sudah pastinya rakyat mahu tahu apa yang berlaku dan sebabnya.

"Sebagai pihak agensi bertanggungjawab juga mahu tahu apa yang berlaku dan kita tidak boleh berlengah-lengah hingga tidak ada tindakan sewajarnya," katanya.

Teliti laporan penuh

Mengulas penyertaan beberapa pemimpin politik negara dalam pertemuan tersebut, Muhyiddin berkata pihaknya akan meneliti laporan penuh berhubung perkara itu.

"Kita akan teliti dahulu dan apa tujuan dia yang mungkin mahu tunjukkan perasaannya dalam majlis terbabit.

"Bagaimanapun, kita akan siasat apa yang berlaku dan menilai langkah yang perlu diambil berdasarkan pelbagai aspek dan sudut," katanya.

Semalam turut dilaporkan hadir ialah Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu, pemimpin veteran PKR Syed Husin Ali, Dr Michael Jeyakumar dari PSM dan profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Rahman Embong.

Liu, yang telah memberi ucapan pada majlis itu, menegaskan bahawa dia menghadirinya atas kapasiti peribadi.

Lihat Komen