Peruntukan kedua berjumlah RM300,000 yang didakwa ditawarkan kepada pemimpin parti peringkat pertengahan oleh anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR yang dipecat Zakaria Abdul Hamid ketika pemilihan parti pada tahun lalu dilaporkan datang dari sumber Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mendedahkan hal ini semasa membacakan surat SPRM yang secara "khilaf" dihantar kepada parti itu mengenai siasatan terhadap Zakaria.
Menjelaskan latar belakang kes, katanya Zakaria yang juga bekas pegawai Menteri Kerja Raya Baru Bian turut menawarkan kontrak RM20,000 dari Kementerian Kerja Raya.
"(Surat SPRM itu juga menyatakan) beliau juga memaklumkan bakal mendapat peruntukan berjumlah RM300,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dihabiskan sebelum hujung tahun 2018," kata Saifuddin pada sidang akhbar di Pulau Pinang.
Menurut sumber, surat itu juga menyebut Zakaria meminta para pemimpin PKR untuk memohon peruntukan daripada penyelaras parlimen Bera.
Surat itu dilaporkan berkata tindakan tersebut disyaki sebagai usaha untuk mendapatkan undi dalam pemilihan PKR.
Malaysiakini telah menghubungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk mendapatkan penjelasan.
Zuraida, yang juga naib presiden PKR, merupakan antara 18 individu yang menandatangani surat menuntut pemimpin parti mengemukakan permohonan maaf kerana bertindak "tergesa-gesa" terhadap Zakaria.
Majlis Pimpinan Pusat PKR memetik surat SPRM sebagai alasan untuk menyingkirkan Zakaria.
Ketika dihubungi mengenai perkembangan terkini pada hari ini, SPRM enggan mengulas lanjut.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata pihaknya menganggap isu ini sudah selesai apabila tampil menjelaskan kekhilafan mengenai surat kepada PKR itu.