malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Sungai Golok lepasi paras bahaya
Diterbitkan:  Nov 30, 2019 6:41 PM
Dikemaskini: 12:58 PM
ADS

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan, hari ini merekodkan bacaan melepasi paras bahaya susulan hujan lebat di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Laman web Jabatan Saliran dan Pengairan Malaysia, menunjukkan bacaan bagi sungai berkenaan berada pada 9.16 meter melepasi paras bahaya pada sembilan meter, setakat jam lima petang tadi.

Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai pula menunjukkan catatan aras air di tahap bahaya dengan catatan 31.84 meter berbanding paras bahaya 35 meter.

Sementara itu, dua lokasi Sungai Kelantan iaitu di Kuala Krai dan Kusial, Tanah Merah merekodkan bacaan paras berjaga-jaga.

Bacaan Sungai Kelantan di Kuala Krai mencatatkan paras 21.38 meter berbanding paras bahayanya 25 meter, manakala di Kusial merekodkan bacaan 13.46 meter berbanding paras bahaya 16 meter.

Dalam perkembangan sama, bilangan mangsa banjir di Kuala Krai meningkat kepada 77 mangsa setakat jam 4 petang tadi berbanding 29 orang pada pagi tadi.

Menurut laporan BH Online, seramai 63 mangsa daripada 13 keluarga dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang, manakala 14 mangsa membabitkan lima keluarga dipindahkan ke PPS Tabika Kemas di Kuala Pertang yang baru dibuka petang ini.

Lihat Komen