malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sg Golok di Rantau Panjang di paras berjaga-jaga
ADS

Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Pasir Mas berada di paras berjaga-jaga pada pukul 11 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Jenob di Tanah Merah menunjukkan bacaan 22.16 meter (m) berbanding 19m pada paras normal.

Paras air Sungai Golok di Pasir Mas pula menunjukkan bacaan 7.64m berbanding 5m pada paras normal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata peningkatan paras air sungai yang berlaku di Sungai Golok ketika ini berikutan hujan sederhana lebat di Jenob, Bukit Bunga, Tanah Merah serta Jeli sejak Rabu lepas.

Beliau berkata, penduduk yang tinggal di sepanjang tebing Sungai Golok akan diarah berpindah jika paras air mencecah paras bahaya iaitu 9-10.4m.

"Sejak awal pagi ini paras air menunjukkan peningkatan dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir di kawasan ini.

"Kami sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan bagi mengenal pasti kawasan yang dinaiki air supaya keselamatan penduduk lebih terjamin," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Imran berkata, pihaknya sudah bersedia dengan pelbagai kelengkapan logistik dan keanggotaan bagi menghadapi fenomena monsun timur laut itu.

"Saya juga menasihatkan penduduk untuk sentiasa bersedia dan mengambil tindakan awal termasuk mematuhi nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya diarah berpindah ke kawasan selamat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen