malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis panggil 2 penyelaras kumpulan urus abu mayat Chin Peng
ADS

Dua penyelaras kumpulan yang mengendalikan kepulangan abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng telah dipanggil oleh polis.

Mereka ialah Chai Kan Fook, 81, dan Tong Yee, 82.

Chai (gambar utama) memberi keterangan pada pukul 10 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, manakala Tong akan berbuat demikian pada pukul tiga petang hari ini, juga di IPD sama.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Tong berkata dia dihubungi Bukit Aman tengah hari semalam berhubung perkara itu.

"Tidak perlu bimbang atau takut. Ini kes kecil sahaja," katanya sambil berkata beberapa kawan, termasuk Chai, akan menenaminya ke IPD Ipoh.

Dia berkata akan ditemani beberapa kawan, termasuk Chai, dan yakin urusan itu akan berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Chai memberitahu Malaysiakini bahawa dia memberi keterangan selama lebih sejam semalam.

"Hanya saya yang dipanggil polis semalam, tetapi saya bawa beberapa kawan bersama," katanya.

Chai berkata polis memberi layanan yang baik dan hanya bertanya tetang perincian bagaimana mereka membawa abu Chin Peng dari Thailand.

Menurut Bernama semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata dua individu telah dihubungi untuk memberi keterangan kepada polis.

Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 dan bermastautin di Thailand sejak PKM dan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dalam di Hatyai pada 1989.

Chin Peng

Dia meninggal dunia di Thailand pada 2013 dan kerajaan ketika itu melarang abu mayatnya dibawa balik ke negara ini.

Pada 26 November lalu, Chai mendedahkan abu Chin Peng telah dibawa dari Thailand pada 16 September, dan ditabur di laut berhampiran Lumut, Perak, dan di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Tiada tugu dibuat untuk mengenang tapak-tapak itu.

Berita itu mencetuskan kecaman sejumlah pihak. Kerajaan pula berkata ia tidak tahu-menahu berkenaan abu mayat Chin Peng dibawa pulang dan akan menyiasat perkara itu.

Lihat Komen