malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Noh akui tak sedar keluar kata kesat di Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Nov 29, 2019 10:42 AM
Dikemaskini: 2:58 AM
ADS

Susulan daripada pertikaman lidahnya dengan MP Jelutong, RSN Rayer, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Noh Omar berkata beliau tidak sedar telah menghamburkan kata-kata kesat di Dewan Rakyat dua hari yang lalu.

MP Tanjong Karang dipetik FMT memberitahu ketika menjelaskan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Arif Yusoff semalam, beliau kemungkinan terdorong mengeluarkan kata kesat tersebut selepas Rayer secara tiba-tiba memanggilnya “bodoh.”

“Kalau saya cakap, mungkin saya tak sedar apa yang saya cakap.

“Saya tengok balik video itu, sebelum saya mengeluarkan kata-kata yang disuruh tarik balik, saya boleh tarik tak ada masalah, tetapi apa punca saya keluarkan kata-kata tersebut, apabila Jelutong tiba-tiba menengking saya dengan perkataan `stupid, stupid’.

“Pada masa itu, saya tengah bercakap, (dia) terus bangun kata saya `stupid’, jadi saya pun tak sedar apa saya cakap,” katanya di Dewan Rakyat selepas Mohamad Arif ingin mengesahkan sama ada benar bekas menteri itu menyebut perkataan kesat tersebut.

Pertelingkahan pada 27 November itu tercetus apabila bertikam Noh menimbulkan isu catatan Facebook 29 Sept oleh “Nga Kor Ming Superfans” yang menggesa rakyat berketurunan Cina yang kecewa dengan penurunan papan tanda jalan dwibahasa di Selangor supaya menunjuk perasan di depan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berikutan itu, Ariff memberitahu Dewan bahawa Noh ada menyebut perkataan kesat tersebut, seta mengarahkan Noh dan Rayer masing-masing menarik balik semula kenyataan mereka.

Mohamad Ariff juga menegaskan mana-mana MP yang didapati mengeluarkan kata-kata kurang sopan akan dikenakan tindakan tegas termasuk dihalau keluar daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat untuk satu tempoh tertentu.

“Sesiapa sahaja yang timbulkan riuh rendah di dewan ini dan gunakan perkataan yang kurang sopan harus diambil tindakan tegas tidak kira dari pihak mana. Semua ahli parlimen hendaklah mengikut peraturan mesyuarat.

“Sekiranya ada sesiapa yang menyebut perkataan sebegini (bodoh, stupid) dan apabila ditegur atau disuruh oleh Speaker atau Timbalan Speaker untuk tarik balik, namun enggan berbuat demikian dan terus menimbulkan kekecohan, saya ikut nasihat ramai untuk singkir mereka keluar dewan bagi satu tempoh tertentu,” katanya

Lihat Komen