malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kajian: Majoriti risau terlampau, tak pasti dan tak yakin dengan PH
ADS

Satu tinjauan yang dijalankan bagi mendapat data mengenai  'Indeks Kerisauan Nasional (NWI) mendapati kebimbangan rakyat kini berada pada tahap "maksimum".

Kajian oleh Emir Research itu juga mendapati majoriti responden sama ada tidak pasti atau tidak bersetuju bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdaya maju dan negara ini berada di landasan yang betul, atau ekonomi berada pada kedudukan yang kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Emir Research ialah Rais Hussin, yang juga anggota Majlis Tertinggi Bersatu.

Kajian berkenaan dijalankan di antara 5 Sept dan 10 Okt terhadap 1992 responden, dengan margin 3 peratus kesilapan.

Ia dijalankan terhadap 65.6 peratus kaum Melayu dan Bumiputera, Cina (28.2 peratus), dan India (6.2 peratus).

 

Semua soalan berdasarkan penemuan daripada perbincangan fokus berkumpulan seperti bumiputera Sabah dan Sarawak dan Orang Asli, pesawah padi, peniaga dan profesional, belia dan suri rumah.

Kajian itu dijalankan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin.

Indeks NWI berdasarkan jawapan kepada empat set soalan mengenai kos sara hidup, pekerjaan, ekonomi dan keselamatan.

Antara yang dibangkitkan ialah harga barangan semakin meningkat, kekurangan peluang pekerjaan, kualiti pendidikan dan kadar jenayah.

Berdasarkan jawapan yang diberikan - daripada skala indeks 0 hingga 1, skor kebimbangan berada pada 0.77, yang berada pada lingkungan tahap maksimum.

Orang ramai yang ditemui paling bimbang mengenai kos sara hidup, yang berada pada indeks 0.81, diikuti dengan pekerjaan (0.78), keselamatan (0.77) dan ekonomi (0.74).

 

Di kalangan kaum, kebimbangan mengenai kos sara hidup adalah lebih kurang sama, dengan Melayu lebih sedikit bimbang berbanding Cina atau India.

Bagaimanapun, kaum Cina dan India agak kurang bimbang - kira-kira 10 peratus perbezaan - mengenai ekonomi, keselamatan dan pekerjaan.

Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Mohamad Sahari Nordin, yang mengetuai pasukan penyelidikan itu berkata indeks tersebut "tidak sempurna" dan memerlukan kajian lanjut, serta replikasi dan analisis data.

Bagaimanapun, beliau berkata data itu menjelaskan keadaan dan "kebimbangan melampau" di kalangan orang ramai.

Sementara itu, mengenai soalan yang berasingan mengenai keadaan hal ehwal negara, hanya segelintir berasa positif.

Apabila ditanya sama ada masa depan negara berada di landasan yang betul, 50 peratus berkata mereka tidak pasti, dan 24 peratus berkata tidak.

 

Begitu juga 44 peratus tidak pasti jika ekonomi berada pada landasan yang kukuh, manakala 30 peratus berkata tidak.

Mengenai sama ada kerajaan PH berdaya maju, 46 peratus berkata mereka tidak pasti dan 30 peratus berkata tidak.

Pecahan mengikut kaum menunjukkan bahawa orang Melayu lebih pesimis mengenai PH (36 peratus), manakala Cina lebih optimistik (37 peratus),

 

Bagaimanapun, 45 peratus daripada responden yang terdiri daripada kedua-dua kaum tidak pasti tentang daya maju PH.

Responden India memiliki pendapat berbeza-beza, dengan 29 peratus menyatakan kerajaan tidak berdaya maju, dan 22 peratus bersetuju manakala 49 peratus mengatakan mereka tidak pasti.

Emir Research merancang untuk menjalankan kaji selidik suku tahunan mulai tahun depan.

Lihat Komen