malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Permohonan Najib, Shafee cabar lantikan Sri Ram didengar 9 Mac 2020
ADS

Permohonan semakan kehakiman difailkan Najib Razak dan peguam Muhammad Shafee Abdullah bagi mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes-kes yang dihadapi mereka akan didengar pada 9 Mac depan.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili bapanya (Muhammad Shafee) dan bekas perdana menteri, memberitahu pemberita tarikh tersebut ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Mariana Yahya ketika pengurusan kes di dalam kamarnya hari ini.

"Pada prosiding hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan akan memfailkan afidavit pada Isnin ini dan pihak kami akan membalas afidavit dalam tempoh empat minggu. Mahkamah juga menetapkan 28 Feb depan untuk pengurusan kes selanjutnya," kata Muhammad Farhan.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden, turut mengesahkan perkara itu.

Kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas selepas Mahkamah Persekutuan pada 15 Okt menolak permohonan AGC untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kebenaran kepada Najib dan Muhammad Shafee bagi permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Najib dan Muhammad Shafee memfailkan permohonan semakan kehakiman itu secara berasingan pada Disember tahun lepas untuk mencabar keputusan Peguam Negara melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Acara Jenayah.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram atau beliau menarik diri, dengan menyatakan surat pelantikannya adalah tidak sah.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan meminta satu perintah bagi melarang beliau (Sri Ram) daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka, termasuk kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

- Bernama

Lihat Komen