malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN | Ahli parlimen bakal menikmati kemudahan bilik sendiri apabila bangunan baru - di bahagian belakang bangunan sedia ada - siap sepenuhnya Mac tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, berkata kemudahan tembahan itu disediakan untuk keselesaan anggota parlimen.

Katanya mereka akan dibawa untuk melawat dan melihat kemudahan berkenaan, mungkin pada minggu depan.

"Secara keseluruhan, setiap anggota parlimen akan diberikan bilik ataupun ada bilik kongsi," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Liew berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mengemuakan soalan tambahan mengenai kemudahan tambahan yang boleh diberikan kepada ahli parlimen.

Ia ekoran kenyataan beberapa ahli parlimen menteri yang mengadu keletihan sebagai antara punca kehadiran yang rendah dalam dewan semasa bersidang.

Semalam, anggota Johari Abdul (PH-Sungai Petani) mendakwa kepenatan punca ramai wakil rakyat tiada dalam dewan semasa Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diundi malam kelmarin.

Ketua Whip PKR itu mengakui beliau sedar BN cuba untuk menggagalkan undian Rang Undang-undang Perbekalan 2020 itu.

Salah cakap boleh singkir

“Inilah yang kami pernah lakukan terhadap BN dulu, ingat? Kami juga selalu serang mereka, jadi sekarang mereka lakukan perkara yang sama pada kita. Tapi buat masa ini kami akan waspada terhadap apa yang berlaku," kata Johari.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, pula menjelaskan tidak mudah untuk seseorang ahli parlimen berada di tempat mereka secara berterusan kerana - antara lain - disebabkan suhu dalam dewan yang terlalu sejuk.

Sementara itu Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, membuat ketetapan untuk menggantung mana-mana anggota yang mengeluarkan kenyataan biadab, lucah, subjudis dan yang bertentangan dengan kemuliaan parlimen.

Perkara itu diputuskan selepas mendapat persetujuan kesemua anggota Dewan Rakyat bagi memastikan keharmonian dalam sesi perbahasan.

"Saya ingin ikut cadangan (anggota parlimen) Tanjung Karang, ada perkara-perkata yang tak boleh disebut, (seperti) stupid, bodoh, (perkataan) lucah.

"Kalau sesiapa sebut, kalau speaker dan timbalan speaker tegur, minta tarik balik...(tapi) tak tarik balik, akan disingkir keluar (Dewan Rakyat) untuk satu tempoh," katanya di Dewan Rakyat selepas tamat sesi pertanyaan lisan.

Sebelum itu, pertikaian berlangsung selama kira-kira 20 minit apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan tindakan Noh Omar (BN-Tajung Karang) mengeluarkan kenyataan kurang sopan dan lucah.

Bagaimanapun Noh mempertahankan kenyataannya dengan mendakwa beliau "terlepas cakap" kerana sikap biadab Rayer. Kenyataan Noh itu mendapat sokongan wakil pembangkang yang lain.

Rayer dan Noh kemudiannya menarik balik kenyataan kurang sopan yang dilontarkan mereka.

Ahmad Maslan (BN- Pontian): Bolehkah pencuri perompak disebut dalam dewan ini? sebab Jelutong sering sebut.

Speaker: Saya dah banyak kali sebut, tak boleh.

Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa): Jelutong sebut kami PAS makan duit rasuah Umno RM90 juta.

Speaker: Tak patut disebut itu.

Mastura Yazid (BN-Kuala Kangsar): Apakah perkara subjudis seperti isu 1MDB yang mana kes sedang berjalan boleh disebut di dewan ini?

Speaker: Kes sedang berjalan ke, kes sedang disiasat pun tak boleh dibincangkan, kedua-dua pihak tak boleh bangkit (isu sebegini).

Lihat Komen