Pengiklanan

    SPRM saran kembalikan kuasa ambil pekerja asing ke KSM

    (Dikemaskini )
    Alyaa Alhadjri  |  Berita

    Tugas menguruskan engambilan pekerja asing perlu dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mengatasi amalan rasuah yang berlaku semasa proses tersebut, kata pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

    Menurut Ketua Pesuhrujaya SPRM itu, agensi terbabit sudah mengusulkan kepada kerajaan agar kuasa pengambilan pekerja asing pada Kementerian Dalam Negeri (KDN) digantikan.

    Katanya amalan sekarang membolehkan berlaku eksploitasi kepada pekerja asing, selain menyumbang kepada kadar rasuah yang tinggi.

    “Apakah cadangan SPRM? Hentikan polisi ini yang membenarkan eksploitasi terjadi.

    "Kembalikan (urusan) pengambilan pekerja asing kepada KSM,” katanya pada sesi perbincangan umum tentang budaya antikorupsi sebagai sebahagian naratif baru Malaysia di Kelab Bangsar Utama, Kuala Lumpur malam tadi.

    Jelas Latheefa, kitaran penipuan dan eksploitasi pekerja asing hanya boleh dipecahkan sekiranya mereka diambil bekerja hanya untuk mengisi kekosongan dalam sektor yang ditetapkan.

    Hal itu, katanya, hanya boleh dilakukan KSM kerana ia mempunyai kapasiti untuk mengenal pasti permintaan terhadap pekerja asing oleh pelbagai sektor.

    Berlaku dua dekad lalu

    “Setiap tahun, di negara-negara lain, kerajaan akan keluarkan senarai kerja yang perlu dipenuhi oleh pekerja asing.

    “Katalah, di Malaysia ini contohnya, kerajaan umumkan bahawa tahun ini kita hanya perlukan pekerja asing dalam sektor pembinaan, kita boleh menguruskannya,” katanya.

    Setakat ini, kata Latheefa, proses pengambilan pekerja asing sering dilihat sebagai sumber pendapatan lumayan buat kerajaan dan juga ejen atau pihak ketiga yang terlibat di setiap peringkat proses tersebut.

    “Ini merupakan pemerdagangan buruh terancang yang kita perlu tangani,” tegasnya.

    Mengulas soalan tentang rancangan SPRM untuk membanteras rasuah melibatkan tenaga kerja asing, Latheefa memberitahu bahawa peralihan bidang kuasa dari KSM ke KDN dalam proses tersebut berlaku kira-kira 20 tahun lalu.

    Katanya, kegiatan memburuk-burukkan pekerja secara terancang sejak dulu, akhirnya menyebabkan urusan tersebut dianggap sebagai isu keselamatan negara.

    Justeru, katanya, proses berkenaan dialihkan kepada KDN.

    “Hentikan xenofobia ini (sikap benci terhadap pendatang dari negara lain), dan berhenti memburuk-burukkan mereka.

    “SPRM selalu menjelaskan kepada jabatan-jabatan lain, bahawa rasuah sangat tinggi kerana polisi (yang diamalkan sekarang) ini,” katanya lagi.

    Pengambilan pekerja asing menjadi satu daripada isu yang sering diperkatakan, selain dikaitkan dengan amalan rasuah.

    Untuk rekod, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, kini berdepan 40 tuduhan mengikut Akta SPRM kerana dikaitkan dengan proses pengambilan pekerja asing semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.

    Pada 26 Jun, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12.95 juta sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak Ultra Kirana Sdn Bhd dalam menguruskan pusat sehenti di China dan sistem visa luar negara (VLN).

    Sehari selepas itu, beliau minta dibicarakan untuk 33 lagi pertuduhan tambahan yang mendakwanya menerima rasuah RM42.7 juta juga dari Ultra Kirana Sdn Bhd.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih