malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'SU agung, presiden PKR tiada hak tarik balik pecat ahli'
ADS

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pihaknya dan juga presiden parti tidak mempunyai hak menarik balik pemecatan dua anggotanya ekoran dakwaan salah laku.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim mengumumkan mengenai pemecatan tersebut.

Saifuddin berkata perlembangaan parti tidak menyebut berkenaan kuasa itu.

“Fasal mana dalam perlembagaan parti yang presiden dan setiausaha agung boleh tarik balik.

“Dia dalam perlembagaan parti tak beri kuasa bahkan tak timbul kuasa tarik balik atau tak,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas merasmikan majlis perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Putrajaya hari ini.

Terbaru, Ahmad Kassim dipetik Berita Harian berkata hanya presiden atau setiausaha agung parti sahaja yang boleh membuat keputusan sama ada perlu menarik balik atau mengekalkan tindakan parti memecat dua anggota terbabit, ketua cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi.

Kata Ahmad, pihak lembaga disiplin tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti terutama dalam soal pemecatan ahli.

Pada Sabtu lalu, dua anggota PKR itu dipecat kerana dakwaan terbabit rasuah ketika pemilihan parti pada tahun lalu.

Pemecatan Zakaria (gambar, atas) dan Ismail berkuat kuasa serta-merta selepas lembaga disiplin PKR menerima bukti daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lembaga disiplin PKR menerima sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober lalu berhubung salah laku membabitkan dua ahli terbabit.

Bagaimanapun, Zakaria mendakwa beliau tidak pernah dipanggil lembaga disiplin untuk membela diri berhubung dakwaan rasuah terhadapnya seperti didedahkan SPRM.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki semalam mengakui terdapat kekilafan yang dilakukan oleh pihaknya yang mencadangkan tindakan tatatertib ke atas dua anggota PKR termasuk ke atas ketua cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid, atas dakwaan melanggar kod etika parti.

"Bukan menjadi polisi kepada SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik berhubung salahlaku anggotanya.

"Laporan salah laku hanya dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri. Bukan polisi SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik," kata Azam, sambil memaklumkan pihaknya akan menghantar surat kepada lembaga disiplin PKR untuk menjelaskan perkara itu.

Usul KM Melaka ditolak

Bagaimanapun, Saifuddin yang juga menteri kabinet berkata kekhilafan yang timbul hanya melibatkan soal prosedur surat SPRM kepada parti itu dan bukan fakta siasatan yang dijalankan.

Sementara itu, Saifuddin juga ditanya mengenai tindakan dua Adun PKR Melaka yang menyebabkan usul Ketua Menteri, Adly Zahari yang mencadangkan Pengerusi PKR Melaka, Abdul Halim Bachik dilantik sebagai ahli dewan negara telah ditolak DUN.

Menjawab soalan itu, katanya mesyuarat biro politik PKR akan dilakukan secepatnya bagi membincangkan perkara tersebut.

Tambahnya, kini beliau sedang menunggu laporan penuh daripada pengerusi PKR Melaka dan pejabat menteri Melaka.

“Sebagai setiausaha agung parti, yang disebut adalah Adun-Adun dari PKR. Jadi tugas yang pertama adalah dapat maklumat penuh dapat laporan penuh dari pertama pengerusi keadilan Melaka dan kedua dari pejabat menteri besar Melaka.

“Setelah aduan itu dah terima dan teliti kita akan bentangkan dalam mesyuarat biropolitik pada masa terdekat untuk cadangkan buat masa sekarang saya masih tunggu laporan di meja saya,” katanya lagi.

Semalam usul yang dibawa ketua menteri Melaka hanya mendapat 12 undi berbanding 13 undi yang menolak, manakala tiga lagi Adun tidak hadir.

Dua daripada Adun yang tidak hadir itu adalah dari PKR.

Mereka ialah Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dan Adun Machap Jaya, Ginnie Lim Siew Lin. Kedua-dua mereka juga merupakan anggota exco kerajaan Melaka.

Adun Gadek dari DAP, G Saminathan pula tidak dapat hadir sidang DUN  kerana masih ditahan di bawah Sosma.

Ginnie Lim ketika disoal sekiranya beliau menolak cadangan Abdul Halim dilantik menjadi senator, berkata terpulang kepada DUN Melaka mengundi dan menentukan perkara berkenaan.

"Saya telah melahirkan kebimbangan saya sebelum usul itu dibentangkan.

"Jadi, dewan perlu membahaskan dan mengundi selepas usul dibentangkan," katanya kepada Malaysiakini tanpa mahu mengulas lanjut.

Mengulas lanjut, Saifuddin juga berkata pencalonan Abdul Halim sudah diketahui pucuk pimpinan partinya kerana sudah dimaklumkan beberapa minggu lalu.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berkata tindakan dua Adun parti itu tidak dapat diterima.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen