malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Mendiang bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang meninggal dunia pada 2013 akhirnya dapat "kembali ke rumah" pada 16 September tahun ini selepas enam tahun kematiannya.

Menurut kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua lahir di Sitiawan, Perak pada 1924. Semenjak Perjanjian Damai Hat Yai pada 1989, dia telah bermastautin di Thailand.

Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81 tahun berkata selepas abu mayatnya tiba di Ipoh, mereka telah menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama.

Menurut Chai, separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut di Perak dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu mengenang tapak-tapak ini.

Bagi memenuhi hasrat terakhir Chin Peng, kumpulan itu membawa abu mayatnya melalui tempat asalnya di Sitiawan dan kubur ibu bapanya di Lumut sebelum menabur abu tersebut di laut dan hutan.

"Biarlah dia kembali ke laut dan gunung di tanah airnya, biarlah dia selamanya dengan kawan-kawannya yang berkorban untuk negara ini," kata Chai.

Pengumuman ini dibuat oleh Chai semasa sidang media di Ipoh petang ini. Lebih daripada 30 kenalan dan rakan-rakan seperjuangan Chin Peng turut hadir.

Chai berkata majlis upacara peringatan itu tidak didedahkan kepada orang ramai untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Sekarang kami telah menyelesaikan tugas itu, kami sangat gembira," katanya.

Sementara itu, Chai dan kawan-kawannya optimis kerajaan PH akan mempunyai sikap berbeza berbanding dengan kerajaan BN sebelum ini.

Walaupun pihak berkuasa dalam pemerintahan baru mungkin masih tetap bertindak terhadap mereka, Chai percaya PH tidak akan berbuat demikian.

"Kami tidak melanggar undang-undang, kami mempunyai kepercayaan terhadap PH, kami percaya kepada mereka," katanya.

"Kami sangat tua sekarang. Jika mereka mahu mengambil tindakan, mereka hanya boleh menangkap kami," kata She Yu, 74, terkejut sambil tertawa.

Tong Yee, 82, juga berkata pentadbiran baru tidak akan berkelakuan seperti parti pemerintah lama.

"Jika mereka sama saja seperti kerajaan terdahulu, apakah itu bermakna rakyat telah membuat keputusan salah untuk menggulingkan BN pada pilihan raya umum tahun lepas?" Soal Tong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen