malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Kandungan surat SPRM tentang pemimpin PKR yang dipecat adalah serius’
ADS

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata kandungan surat SPRM mengenai dakwaan salah laku Zakaria Abd Hamid, yang kemudiannya dipecat oleh parti itu, adalah "serius".

Anwar berkata tuduhan itu begitu serius sehingga beliau sendiri meminta untuk membaca surat berkenaan.

“Saya minta surat itu daripada pengerusi lembaga disiplin (Ahmad Kassim) kerana saya pun sendiri tidak yakin perkara itu begitu serius.

“Jadi saya baca perakuan, memperaku supaya tindakan diambil dan kemudian tindakan dilapor kepada SPRM,” katanya.

Beliau menambah bahawa walaupun SPRM mengakui terdapat kekilafan dalam menghantar laporan sesuatu salahlaku, yang dimaksudkan hanya untuk agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri dan bukannya kepada PKR, suruhanjaya tersebut tidak mempertikaikan kandungan surat tersebut.

“Kandungan surat itu tidak dipertikai. Dan dengan bukti-bukti sekali tentang kesalahan, penyalahgunaan kuasa, sogokan dan benda ini serius...

“Kita sbg parti mesti tegas membanteras penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, dan rasuah. Jadi kalau siasatan SPRM itu salah, biar SPRM maklum kepada kita,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Anwar, Zakaria, yang adalah bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya, Baru Bian, boleh merayu berhubung pemecatannya itu.

Siasatan ke atasnya adalah berdasarkan rakaman audio yang kononnya beliau menawarkan kontrak semasa pemilihan PKR tahun lalu.

Beliau bertanding dan memenangi jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan meraih undi kelapan paling banyak.

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, yang juga anggota parlimen Ampang, telah membidas hakikat bahawa Zakaria tidak dipanggil untuk menjelaskan dirinya sebelum dipecat dan menuduh kepimpinan parti mengamalkan keadilan terpilih.

“Belum ada lagi kertas siasatan yang dirujuk kepada kita baik SPRM atau polis. Kalau ada, kita ambil tindakan. Kalau kes sudah ada hukuman mahkamah, kita ambil tindakan, macam Ketua Pemuda Ampang. Ataupun surat daripada SPRM, kita ambil tindakan.

“Kalau ada lain, dia boleh bawa maklumat kepada kita. Kalau dia tak hadir mesyuarat pun, dia hantar surat keterangan, kita akan teliti dan baca,” kata Anwar.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman ke atas bekas Ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly Abdullah yang dikenakan penjara selama enam bulan dan denda RM30,000 kerana memberikan maklumat palsu kepada SPRM.

Lihat Komen