malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
8 masuk hospital terhidu gas di Lahad Datu
Diterbitkan:  Nov 25, 2019 3:58 PM
Dikemaskini: 7:58 AM
ADS

Lapan individu termasuk dua kanak-kanak dan tiga wanita dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas asetilena yang bocor di sebuah kilang besi buruk di Jalan Dam 8 di Lahad Datu, Sabah hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata kejadian itu dilaporkan orang awam yang menghubungi MERS 999 pada 9.56 pagi.

“Ketika ini, tiga mangsa iaitu seorang kanak-kanak dan dua orang dewasa masih menerima rawatan oksigen (semi kritikal) di Hospital Lahad Datu.

Manakala lima orang lagi yang sudah stabil dibenarkan balik,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Lahad Datu, hari ini.

Menurut Nasri, berdasarkan laporan pihak bomba, didapati satu injap tong gas yang mengandungi gas kimia berkenaan yang dibawa ke kilang untuk dijadikan besi buruk terlepas dan mengakibatkan gas itu terkeluar.

“Bagaimanapun laporan bomba menyatakan kandungan gas dalam tong berkenaan berkuantiti sedikit dan pihak bomba berjaya mengawal gas itu,” katanya.

Nasri berkata, setakat ini, tiada mangsa lain dilaporkan selain daripada lapan individu termasuk pekerja kilang berkenaan.

Katanya lagi, kejadian itu tidak membahayakan orang awam yang melalui jalan berkenaan atau berada di kawasan Jalan Dam.

- Bernama

Lihat Komen