malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Imigresen Perlis tumpas sindiket seludup pendatang
Diterbitkan:  Nov 24, 2019 12:36 PM
Dikemaskini: 4:36 AM
ADS

Jabatan Imigresen Perlis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran rentas sempadan dengan tertangkapnya dua lelaki warga tempatan dan tiga warga asing disyaki dari Myanmar termasuk seorang wanita, berumur 28 hingga 39 tahun, Jumaat lepas.

Pengarah Imigresen Perlis Basri Othman dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua suspek ditangkap ketika intipan dalam satu operasi khas oleh penguat kuasa di Unit Dagang dan Jalan Raya (UDJR), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) di Padang Besar kira-kira 2.30 petang.

Katanya ketika pemantauan dan intipan, anggota penguat kuasa telah mengesan beberapa individu yang berada di kawasan berkenaan disyaki warganegara asing.

Menurut Basri, dua suspek warga tempatan yang ditahan disyaki menjadi dalang utama dan perancang utama kemasukan migran ke negeri ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket ini akan menggunakan pengangkutan awam dan turun di sekitar Padang Besar, dan mereka akan menguruskan pergerakan migran melalui kawasan-kawasan tertentu dengan kadar RM8,000 bagi urusan ke luar negara.

Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Kangar hari ini manakala tiga warga asing itu direman 14 hari sejak Jumaat lepas, kata Basri dan menambah kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

- Bernama

Lihat Komen