malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Inti pati perbicaraan pinda audit 1MDB dari 18 hingga 21 Nov
ADS

KES PINDA AUDIT 1MDB | Kes terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibicarakan bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy bermula di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur di mana seorang saksi membuat pengakuan mengejutkan bahawa beliau secara rahsia merakamkan butiran mesyuarat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan dakwaan meminda laporan itu.

Tiada siapapun tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam mesyuarat pada 24 Feb 2016, sekiranya Nor Salwani Muhammad, 52, Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (JAN) tidak membuat rakaman dengan memasukkan alat perakam suara ke dalam kotak pensel wakil JAN dalam mesyuarat itu, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, yang merupakan pegawai atasannya, tanpa pengetahuannya (Saadatul Nafisah) sejurus sebelum mesyuarat itu bermula.

Hari pertama perbicaraan itu turut mendengar Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam kenyataan pembukaannya, antara lain berkata pihak pendakwaan akan membuktikan Najib melakukan perbuatan itu bagi mengelak pertuduhan sivil atau jenayah terhadap dirinya sebagai pengarah bayangan 1MDB, serta kedudukannya, untuk memperoleh ganjaran sebagaimana peruntukan Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Audit 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Berikut adalah ringkasan keterangan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Sri Ram dalam kenyataan pembukaannya antara lain memberitahu Mahkamah Tinggi pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mengarahkan maklumat penting dikeluarkan daripada laporan akhir audit 1MDB.

Beliau berkata 1MDB adalah syarikat yang Najib mempunyai kepentingan material dan bekas perdana menteri itu memiliki sahamnya.

"Beliau juga pemegang saham keutamaannya dan menggunakan kuasa tertinggi ke atasnya. Tertuduh (Najib) mengambil kira dirinya dalam urusan 1MDB,” katanya.

Sri Ram berkata wang milik 1MDB mengalir masuk ke akaun Good Star Limited, syarikat yang dikawal oleh Low Taek Jho atau Jho Low, yang amat dilindungi tertuduh.

"Sebahagian daripada wang itu juga diperoleh anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz. Najib juga menerima sejumlah besar wang milik 1MDB. Walaupun beliau tahu bahawa wang yang dikatakan itu milik 1MDB, beliau berbohong kepada dunia bahawa wang berkenaan adalah derma daripada Arab Saudi," katanya.

HARI 1 (18 Nov):

Sri Ram berkata walaupun laporan yang disediakan oleh Ketua Audit Negara telah sedia untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Najib mengambil langkah memastikan beberapa petikan yang berkenaan dengannya diubah atau dikeluarkan dalam satu mesyuarat 24 Feb, 2016, atas arahannya.

Beliau berkata Arul Kanda melalui kelakuannya, sebelum mesyuarat yang dikatakan, pada pertemuan itu dan susulannya, bersubahat dengan tertuduh.

“Menjadi tugas saya untuk memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada peringkat yang sesuai pendakwa raya akan memohon secara bertulis mengikut Seksyen 63 Akta SPRM untuk memanggil tertuduh, Arul Kanda untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan. Kami akan memaklumkan kepada mahkamah mengenainya pada peringkat yang sesuai," katanya.

HARI 2 (19 Nov):

Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memberitahu Mahkamah Tinggi Najib tidak berpuas hati dengan kandungan laporan audit 1MDB yang diperlu dibentangkan kepada PAC pada 24 Feb 2016.

Ali, 64, yang menyandang jawatan itu sehingga Ogos 2018, berkata perkara itu dimaklumkan oleh bekas perdana menteri ketika beliau (Ali) dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri pada 22 Feb 2016. Beliau berkata turut hadir dalam pertemuan itu ialah bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

(Dalam pertemuan itu) Datuk Seri Najib menyatakan beliau tidak mahu dua penyata kewangan berlainan bagi 1MDB dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB. Pada masa itu, saya tidak tahu apa masalahnya dengan penyata kewangan tahunan 1MDB," kata saksi keempat pendakwaan itu.

Dalam keterangannya itu, Ali berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas beliau membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan dengan dana kekayaan berdaulat, 1MDB, pada tahun 2015.

Beliau juga berkata bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga dipecat daripada jawatannya pada Julai 2015 disebabkan Najib telah hilang keyakinan terhadap ketua penasihat undang-undangnya.

Saksi itu berkata Ambrin membangkitkan isu itu dalam mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB, yang diadakan atas arahan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Feb 2016, bagaimanapun tiada minit mesyuarat yang direkodkan.

Katanya Arul Kanda Kandasamy hadir dalam mesyuarat itu dan beliau membantah perkara yang diketengahkan dalam laporan audit 1MDB oleh JAN kerana perkara itu "bukanlah fakta dan semata-mata hanyalah dengar cakap", oleh itu beliau meminta supaya perkara seperti itu dikeluarkan daripada laporan berkenaan.

Kata Ali, Arul Kanda menegaskan bahawa versi bercanggah tidak boleh dimasukkan dalam Laporan Audit 1MDB dan meminta supaya siasatan polis diadakan.

“Mesyuarat turut membangkitkan tentang isu kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB berkaitan pelaburan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN).

“Ia dibangkitkan dalam Laporan Audit 1MDB kerana ketelitian Jabatan Audit Negara mendapati Jho Low tidak memegang sebarang jawatan atau melaksanakan sebarang peranan dalam 1MDB, oleh itu kehadirannya dilihat sebagai perlu diberi perhatian,” katanya.

HARI 3 (20 Nov):

Rakaman audio mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB yang dipengerusikan Ali, diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

Mereka yang menghadiri mesyuarat pada 24 Feb 2016 ialah Arul Kanda, dua wakil daripada Jabatan Audit Negara iaitu Ambrin dan Saadatul Nafisah, Tan Sri Shukry Mohd Salleh daripada Pejabat Perdana Menteri serta Datuk Seri Mohamad Isa Hussain daripada Perbendaharaan.

Transkrip rakaman itu diberi kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dan peguam dalam perbicaraan itu.

HARI 4 (21 Nov):

Nor Salwani mengaku di mahkamah beliau membuat rakaman mesyuarat itu dengan memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensil milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah, tanpa pengetahuannya ( Saadatul Nafisah) sebelum mesyuarat bermula.

Saksi kelima pendakwaan itu berkata beliau berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana beliau tidak dibenarkan berada di dalam bilik mesyuarat itu.

"Saya dilantik sebagai penyelaras penyediaan laporan audit 1MDB. Disebabkan itu saya perlu mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit kerana saya tidak boleh menyertainya (mesyuarat).

"Saadatul Nafisah tidak tahu yang saya menyimpan perakam dalam bekas pensil miliknya. Selepas mesyuarat habis, saya ambil perakam itu daripada bekas pensilnya sebelum membawanya ke pejabat," katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, saksi itu berkata beliau tidak sempat memberitahu Saadatul Nafisah mengenai tindakannya meletakkan perakam tersebut ke dalam bekas pensil serta tidak berniat untuk melakukannya secara diam-diam.

“"Apabila saya diarah keluar dalam keadaan tergesa-gesa sebelum mesyuarat itu bermula, saya nampak bekas pensil di atas meja dan saya terus masukkan perakam ke dalamnya," katanya.

Nor Salwani turut memberitahu mahkamah beliau dan pasukan audit khas 1MDB terperanjat apabila mereka mendengar bahagian (dalam rakaman suara itu) di mana terdapat permohonan (dalam mesyuarat laporan audit) untuk mengeluarkan penyata kewangan 1MDB.

Ambrin, 70, sementara itu berkata laporan audit 1MDB dan kumpulan syarikatnya sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh lima bulan namun mengambil masa hampir setahun kerana kesukaran mengakses maklumat.

Saksi keenam pendakwaan itu berkata beliau juga mengarahkan laporan akhir audit 1MDB diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mengelak ia daripada disensasikan sebelum dibentangkan kepada PAC.

Amrin, yang menyandang jawatan Ketua Audit Negara sejak 2006 berkata proses pengauditan yang dijalankan oleh sepasukan 12 pegawai daripada JAN sejak Mac 2015 mengambil masa kira-kira setahun disebabkan kesukaran mengakses maklumat yang diperlukan.

“JAN mengambil masa yang lama kerana menghadapi limitasi dalam mendapatkan sebahagian dokumen asal dan penting, lewat diserahkan atau tidak diserahkan sama sekali oleh 1MDB bagi tujuan pengesahan transaksi dan sebagai bukti audit,” katanya.

“Antara dokumen penting yang tidak pernah sampai daripada 1MDB adalah akaun pengurusan kumpulan itu bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 dan penyata bank daripada institusi kewangan luar negara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini bersambung Rabu depan.

- Bernama

Lihat Komen