malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lapan lagi MP Umno sanggah kenyataan Dr M
Diterbitkan:  Nov 23, 2019 12:29 PM
Dikemaskini: 4:34 AM
ADS

Lapan lagi anggota parlimen Umno yang berjumpa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan mereka 'hilang parti' seperti disebut Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam.

Dalam kenyataan bersama yang turut disertai bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein hari ini, mereka menjelaskan tidak pernah berniat meninggalkan parti itu.

"Seperti dinyatakan tujuh anggota Parlimen BN semalam, kami turut menafikan dakwaan kononnya pemimpin Umno sudah hilang parti dan tidak pasti apa perlu dilakukan, sama ada hendak lompat parti atau tidak.

"Kami boleh sahkan, tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana anggota parlimen BN semasa pertemuan tersebut.

"Malah, seperti dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami langsung tidak berniat untuk tinggalkan parti, apatah lagi sertai parti lain," kata kenyataan itu.

Selain Hishamuddin, tujuh lagi nama anggota parlimen Umno dalam kenyataan bersama itu ialah Shahidan Kassim (Arau), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Hasbullah Osman (Grik), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Ahmad Hamzah (Jasin), Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Semalam, Mahathir mendakwa Azmin memberitahunya bahawa anggota Parlimen BN yang datang bertemu pemimpin PKR itu sudah "hilang parti" dan mempertimbangkan kemungkinan menyertai parti lain.

"Saya tanya Datuk Seri Azmin apa dia bincang, dia kata orang Umno ini, mereka sudah 'hilang parti', tidak tahu hendak buat apa," 

"Mereka tanya sama ada nak masuk parti lain atau tidak. Ada yang membuat kenyataan mereka sokong kepimpinan Dr Mahathir," kata pengerusi Bersatu itu.

Susulan itu tujuh anggota parlimen BN daripada Umno yang terbabit dalam pertemuan itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Mereka ialah Ismail Mohamad Said (Kuala Krau), Salim Sharif (Jempol), Jalaluddin Alias (Jelebu), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Azalina Othman Said (Pengerang), Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Nafi bincang isu peralihan kuasa

Sebelum ini Hishammuddin didakwa mengetuai pertemuan lebih 20 anggota parlimen BN di kediaman Azmin Ali di Putrajaya pada 17 Nov lalu dalam usaha menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun Hishamuddin menafikan beliau merancang pertemuan tersebut.

Azmin pula berkata pertemuan itu hanyalah mesyuarat biasa dan tidak perlu digembar-gemburkan.

Dalam kenyataan bersama lapan anggota parlimen Umno hari ini, mereka turut menafikan isu peralihan kuasa perdana menteri dibincangkan pada pertemuan itu.

"Perihal peralihan kuasa ini hal dalaman PH. Ia tiada kena mengena dengan kami sebagai anggota Parlimen pembangkang," jelasnya lagi.

Mereka menjelaskan pertemuan dengan Azmin hanya khusus membincangkan isu di kawasan parlimen masing-masing serta usaha memastikan kepentingan dan keperluan rakyat dipenuhi.

Mereka turut mengajak pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ikhlas dan telah sedar bahawa rakyat menolak gabungan itu agar menyertai Umno dan BN.

"Kita boleh bersama-sama pulihkan semula negara, yang berdepan pelbagai masalah sejak PH memerintah. 

"Dan lebih penting, kita kembalikan negara pada landasan yang boleh menjamin masa depan rakyat, anak dan cucu cicit kita," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen