malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pendakwaan rasuah terhadap PM Israel: Netanyahu kata 'kudeta'
ADS

GLOBAL | Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengutuk keputusan Peguam Negara Israel pada Khamis untuk mengemukakan pendakwaan jenayah terhadapnya dan menyifatkan langkah itu sebagai satu percubaan rampasan kuasa, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik ucapan pemimpin tersebut yang disiarkan melalui televisyen.

Dalam ucapan itu, yang dibuat sejurus selepas pendakwaan terhadapnya diumumkan, Netanyahu mendakwa siasatan yang dilakukan polis dan penyiasat adalah berat sebelah.

“Petang ini kita merupakan saksi kepada satu percubaan kerajaan untuk merampas kuasa daripada perdana menteri, yang menggunakan dakwaan palsu serta siasatan yang telah dicemari,” kata Netanyahu.

“Saya menghormati badan undang-udang di Israel, namun anda buta sekiranya mengabaikan fakta bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku kepada saya yang berpunca daripada polis dan pendakwaan,” katanya.

Netanyahu menuduh Peguam Negara Avichai Mandelblit mengemukakan pendakwaan itu pada waktu yang sensitif iaitu ketika pilihan raya.

Pemimpin parti berhaluan kanan Yisrael Beytenu, Avigdor Lieberman berkata Netanyahu perlu diberi peluang untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah di mahkamah manakala pemimpin Parti Biru dan Putih, Benny Gantz berkata Netanyahu tidak mempunyai mandat awam atau moral untuk membuat keputusan.

Beliau dan rakannya dalam parti itu, Yair Lapid, menggesa agar Netanyahu meletak jawatan.

Mandelblit telah mengemukakan tiga pertuduhan membabitkan rasuah, penipuan dan pecah amanah terhadap Netanyahu.

Pertuduhan itu menjadikan beliau perdana menteri pertama dalam sejarah Israel yang didakwa ketika memegang jawatan.

- Bernama

Lihat Komen