malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dulu ‘miskin’ nak isytihar harta, kini menteri pelancongan tunjuk RM9,338
ADS

Tahun ini Menteri Pelancongan Mohammadin Ketapi murah rezekinya dari segi aset peribadi.

Pada Disember lalu, beliau berkata beliau terlalu “miskin” untuk mengisytihar apa-apa aset.

Semakan terkini menunjukkan beliau berjaya mengumpul RM9,338 aset peribadi dalam 11 bulan seterusnya. Ini termasuk aset isteri.

Pengisytiharan ini dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan disiarkan di laman web pengisytiharan aset yang dikendalikan SPRM.

Menurut laman web tersebut, pendapatan bulanan Mohammadin adalah RM54,879.53.

Sebagai perbandingan, pendapatan median nasional adalah RM2,308 sebulan dan gaji minimum adalah RM1,200 sebulan.

Mohammadin adalah antara 25 menteri dan timbalan menteri yang tidak mengisytiharkan aset beliau dalam pusingan pertama proses pengisytiharan tahun lalu.

Pada masa itu, beliau berkata: “Saya miskin...Jadi, saya tidak mempunyai apa-apa untuk diisytihar. Orang miskin tak ada aset.”

Sebelum menjadi menteri, Mohammadin merupakan seorang peguam dan aktif dalam politik sejak 1980-an, bermula dengan Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau dilantik timbalan setiausaha agong PBS pada tahun 1985.

Tindakan bersejarah

Menurut laman web pengisytiharan aset, semua ahli eksekutif telah membuat pengisytiharan aset.

Aset menteri dan ahli parlimen disiarkan pada awam buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia tahun lalu.

Sebelum ini, pada menteri membuat pengisytiharan aset kepada badan pencegah rasuah, yang seterusnya berkongsi maklumat ini dengan perdana menteri.

Namun begitu, reformasi ini tetap dikritik sebagai melepas batuk di tangga, kerana laman web SPRM tersebut tidak menunjukkan pecahan aset yang dipegang serta sumber aset tersebut. Pengguna laman web itu juga tidak dapat membuat perbandingan jumlah aset yang dipegang seseorang menteri atau MP dari masa ke semasa.

Menurut garis panduan NGO anti-rasuah antarabangsa Transparency International, pengisytiharan aset bukan sahaja perlu untuk menteri dan ahli parlimen, tapi juga kehakiman.

Di United Kingdom, para MP perlu menyiarkan jumlah, sumber dan jenis pendapatan mereka, termasuk hadiah dan tajaan. Para MP juga perlu mengisyihar jika mereka menggajikan ahli keluarga mereka menggunakan peruntukan ahli parlimen.

Julai lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan sebuah usul khas yang mewajibkan semua MP mengisytiharkan aset mereka sebelum 1 Okt.

"Jika seorang MP membuat deklarasi palsu, beliau akan melanggar Akta 783 (Akta Akuan Berkanun 1960) dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan," kata menteri undang-undang VK Liew.

Jika disabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara atau didenda.

Timbalan Menteri Pelancongan isytihar aset bulan ini

Sementara itu, Timbalan menteri pelancongan isytihar aset RM2.8 juta bulan ini.

MP yang mempunyai aset paling tinggi dalam senarai ialah MP Segamat dari PKR, Edmund Santhara.

Beliau mengisytiharkan aset sebanyak RM132.16 juta, termasuk aset isteri. Edmund merupakan seorang ahli perniagaan sebelum aktif dalam politik dan adalah pengasas Masterskill Education Group Bhd.

Aset beliau jauh lebih tinggi dari perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Mahathir merupakan menteri yang memegang aset yang paling banyak, iaitu RM32.26 juta, termasuk aset isterinya Dr Siti Hasmah Ali.

Timbalan menteri yang paling akhir mengisytiharkan asetnya merupakan Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik. Pada Nov 4, beliau mengisytiharkan aset bernilai RM2.8 juta, termasuk aset isteri.

Timbalan menteri yang memegang paling banyak aset adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Ahmad Baharuddin Shah.

Pada Oktober tahun lalu, beliau mengisytiharkan aset bernilai RM13.5 juta, termasuk aset isteri dan anak-anak.

Ini diikuti Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye (RM13.67 juta) dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaafar (RM11.37 juta).

Aset Lee termasuk aset isteri dan anak, manakala aset Kamaruddin termasuk aset isteri.

 

Seramai 22 MP, menteri dan timbaan menteri mengemaskini pengisytiharan aset mereka bulan ini, termasuk timbalan speaker Nga Kor Ming. Beliau mempunyai aset bernilai RM7.9 juta, termasuk aset isteri.

Selain menteri pelancongan, dua lagi menteri mengemaskinikan pengisytiharan aset mereka tahun ini.

Mereka adalah Menteri Industri Utama Teresa Kok (RM2.58 juta) yang membuat pengisytiharan pada bulan September dan Menteri Undang-undang Liew Vui Keong (RM8.04 juta) yang membuat pengisytiharan pada bulan Februari.

Ramai jutawan

Walaupun ramai jutawan dalam senarai MP dan menteri ini, dua dari mereka membuktikan bahawa bergiat dalam politik tak semestinya membawa kekayaan.

Dua ahli parlimen DAP, yang mengisytiharkan aset mereka pada November tahun lalu, berkata mereka tidak mempunyai apa-apa aset.

Mereka adalah Wong Tack (Bentong) dan Mordi Bimol (Mas Gading) - kedua-duanya MP kali pertama. Pendapatan bulanan mereka adalah RM22,412.64 dan RM25,700 masing-masing.

Laman web ini juga memaparkan pengisytiharan aset oleh setiausaha politik menteri.

Paling atas dalam senarai ini adalah setiausaha politik bagi Menteri Komunikasi dan Multimedia, iaitu Adrian Marcellus. Bersama isterinya, beliau mempunyai aset bernilai RM12.36 juta.

Ini diikuti Tony Pua, setiausaha politik Menteri Kewangan, yang mempunyai aset bernilai RM10.4 juta bersama isterinya. Tony juga merupakan MP Damansara bagi DAP.

Kedua-dua Marcellus dan Tony mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM34,686.33 dan RM30,600 sebulan, masing-masing.

Setiausaha politik Menteri Pertahanan pula berada di tangga paling bawah dalam senarai ini, kerana menurutnya, beliau tidak mempunyai apa-apa aset dan berpendapatan RM12,650 sebulan.

Lihat Komen