malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bantuan kecemasan segera untuk Orang Asli di Gua Musang - Menteri
Diterbitkan:  Nov 20, 2019 9:05 PM
Dikemaskini: 1:05 PM
ADS

Masyarakat Orang Asli di Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Gob akan menerima bantuan kecemasan dalam bentuk keperluan makanan dan pemulihan jaringan perhubungan jalan dengan kadar segera, maklum Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy.

Ini selepas tanaman penduduk Orang Asli itu dimusnahkan gajah liar dan kini kampung mereka turut dilanda banjir.

“Dalam pada itu, pihak Jakoa juga telah menyediakan bekalan makanan yang akan diagihkan kepada masyarakat terjejas.

“Kita juga telah mohon kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi memperbaiki jalan yang menghubungkan Pos Simpor dengan RPS Kuala Betis sepanjang 10 kilometer yang terjejas teruk akibat hujan lebat yang berterusan di kawasan tersebut”, katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurut Waytha, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga sedang berusaha untuk mendapatkan kerjasama pihak bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menyalurkan bantuan makanan tambahan melalui perkhidmatan helikopter kawasan Gua Musang.

Mengenai masalah pencerobohan gajah liar di kawasan terbabit pula, katanya kaedah terbaik penyelesaian akan diambil dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

Semalam, media melaporkan Pengarah Jakoa, Juli Edo berkata jabatan itu sedang mengumpul dana kecemasan bagi menyediakan bekalan makanan kepada penduduk kampung Orang Asli di Pos Simpor, di Gua Musang, Kelantan.

Sejak dua minggu lalu, 130 keluarga cuba mendapatkan bantuan daripada Jakoa susulan kemusnahan tanaman akibat gajah liar dan banjir mula melanda kampung mereka.

Dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan, mereka turut berdepan kesukaran untuk ke bandar bagi mendapatkan bekalan berikutan keadaan jalan yang rosak dan berlumpur akibat hujan lebat menyebabkan motosikal mereka sering terbenam dalam lumpur.

Mengulas lanjut, Waythamoorthy berkata pelan tindakan kecemasan akan sentiasa dikaji dan ditambah baik perlaksanaannya bagi memastikan keberkesanannya supaya beban komuniti yang terjejas dapat diatasi dengan kadar segera.

Beliau juga berterima kasih kepada setiap agensi kerajaan yang telah tampil untuk mempercepatkan proses bantuan tersebut.

Lihat Komen