malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Identiti lelaki dalam video intim diketahui tak lama lagi
ADS

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin identiti lelaki yang dirakam beraksi di atas ranjang - dan dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali - akan diketahui sebelum hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata klip video tersebut sudah dihantar ke firma di sebuah universiti di AS untuk dianalisis oleh seorang pakar forensik digital.

Katanya, langkah itu dibuat untuk mengetahui ketulenan serta identiti yang terlibat dalam rakaman berkenaan.

Huzir menjelaskan, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara antara tujuh dan lapan kali dan pihak terbabit sudah diberi arahan untuk dilaksanakan.

"Polis telah pergi ke AS baru-baru ini, dan mereka sudah balik. Laporan analisis tersebut akan dibekalkan kepada PDRM dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya bila keputusan tersebut akan diperolehi, Huzir menjawab: "PDRM sangat yakin sebelum hujung tahun."

Beliau menambah, PDRM melantik pakar dari luar negara untuk membuat analisis kerana perlukan badan bebas untuk membuat analisis mengenainya.

Ada sebab siasatan lama

Antara aspek yang ditumpukan, katanya, ialah menilai ketulenan video tersebut dan menjalankan proses pengecaman wajah individu yang terlibat.

Selepas itu, katanya, ia akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Isu klip berkenaan menjadi perhatian ramai apabila disebarkan - kelihatan seperti dirancang teliti - pada Jun lalu.

Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ketika itu menjadi setiausaha kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, kemudian tampil mengaku sebagai seorang daripada lelaki terbabit.

Dia kemudian membuat dakwaan seorang lagi lelaki yang bercumbu dengannya ialah Azmin.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia adalah tindakan pihak tertentu dalam parti yang mahu memusnahkan kerjaya politiknya.

Pada Julai lalu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu klip video berkenaan adalah tulen namun identiti lelaki yang terlibat tidak dapat disahkan.

Kata beliau pengesahan itu dibuat CyberSecurity Malaysia.

Huzir berkata tindakan PDRM menghantar rakaman video tersebut ke luar negara dibuat kerana pihak berkuasa mahukan keputusan yang diperolehi oleh pakar berkecuali.


Baca Azmin yakin video seks libat ‘orang dalam’ PKR


Katanya, CyberSecurity Malaysia adalah badan dalam kerajaan dan pihak berkuasa berasakan perlu mendapat pandangan pakar bebas.

Ditanya mengapa siasatan kes itu mengambil masa begitu lama, Huzir memberitahu PDRM perlu mengenal pasti pakar yang boleh diyakini untuk membuat analisis.

Katanya jika ia dihantar kepada pihak yang tidak pernah memberi keterangan di mahkamah, ia mungkin menyukarkan proses perundangan.

Periksa telefon jika ada sebab

Menurutnya, ia juga memerlukan perbelanjaan yang sangat besar.

"Sesetengah pakar bersedia untuk membuat analisis tetapi tak sedia memberi keterangan di mahkamah.

"Ia juga membabitkan banyak perhubungan melalui e-mel kerana polis perlu menanyakan pelbagai soalan. Jadi sebab itu ia mengambil masa lama," katanya.

Sementara itu mengulas isu hak polis untuk memeriksa telefon genggam orang awam, Huzir berkata, penjelasan dibuat Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman, adalah betul.

Katanya polis hanya boleh membuat pemeriksaan ke atas mana-mana individu sekiranya wujud syak wasangka yang munasabah, atau ketika semasa menjalankan siasatan sesuatu kes.

"Misalnya dalam kes culik, sekiranya polis percaya medium yang digunakan adalah telefon, kita boleh periksa telefon mereka," katanya.

Menurut beliau berdasarkan prosedur operasi standar (SOP) jika polis mahu membuat pemeriksaan atau merampas sesuatu peralatan, laporan akan dibuat bagi memastikan ia berjalan atas dasar rasmi.

"Sekiranya ada individu tak puas hati telefon bimbit mereka diperiksa, sila buat laporan polis.

"Bagaimanapun setakat ini polis tak pernah terima laporan lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen