malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin dipecat sebab persoal 1MDB, kata Ali Hamsa
ADS

KES NAJIB | Mahkamah hari ini diberitahu Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas beliau membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan dana 1MDB pada 2015.

Bekas Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa, 64, berkata bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail juga dipecat daripada jawatannya pada Julai tahun berkenaan disebabkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, telah hilang keyakinan terhadap ketua penasihat undang-undangnya.

Ali semasa menjelaskan perkara itu berkata Muhyiddin - yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu - lantang bersuara dalam kabinet.

"Apabila duduk dalam mesyuarat kabinet, kami dapat lihat ada perbalahan, kebanyakannya dari satu pihak sahaja. Muhyiddin yang membangkitkan banyak persoalanan dalam kabinet, kami tahu ada sesuatu yang dibangkitkan,” katanya.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian semasa disoal ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, pada hari kedua perbicaraan Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Ditanya reaksi tertuduh terhadap semua soalan yang dibangkitkan Muhyiddin, Ali berkata Najib kelihatan tenang semasa mesyuarat kabinet dan ada sesetengah soalan dijawabnya, manakala yang lain dijawab oleh menteri kewangan kedua.

Ditanya apa terjadi kepada Muhyiddin selepas bertanya soalan-soalan itu, Ali berkata: “Saya rasa beliau dipecat dari jawatannya”.

Sri Ram: Anda (ketika itu) adalah ketua setiausaha kepada kabinet, kepada negara, kepada kerajaan. Anda memberi bukti bahawa Muhyiddin bertanyakan soalan berhubung 1MDB dalam kabinet, dan jawapan juga telah diberikan. Anda juga sebentar tadi berkata dia (Muhyiddin) dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri. Adakah anda mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai fakta-fakta yang berkaitan pemecatan itu?

Ali: Kenyataannya, dan juga pemecatan itu.. ia di luar pengetahuan saya kerana ia adalah hak prerogatif perdana menteri (Najib).

Sudah tak yakin lagi

Semasa diminta memberi penjelasan mengenai suasana keadaan semasa Abdul Gani meninggalkan pejabatnya, saksi itu berkata, perdana menteri "telah hilang keyakinan terhadapnya".

“Sebenarnya selepas saya menyerahkan surat kepada Gani Patail, dan memberitahu dia dipecat dari jawatan peguam negara, katanya, beliau sudah menjangka ia akan berlaku.

"Ada dua peringkat proses bagi memecat Abdul Gani. Pertama surat kepada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan mengenai pemecatan itu, dan diikuti dengan sepucuk surat daripada Najib yang dialamatkan kepada Abdul Gani bagi memaklumkan mengenai pemecatannya.

"Saya dipanggil Najib untuk menandatangani surat itu dan memberikannya kepada Abdul Gani, dan diarah memberitahunya mengenai pemecatan, di samping melarang beliau daripada membawa apa-apa dokumen keluar dari pejabat,” katanya.

Sri Ram: Tahukah anda apa yang mendorong kepada hilang keyakinan (terhadap Abdul Gani) itu?

Ali: Pada masa itu ada beberapa isu berhubung timbalan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin. Saya dimaklumkan oleh Najib bahawa Abdul Gani dan Muhyiddin bertemu di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. Itu mungkin sesuatu yang boleh menjadi isu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Gani dikatakan sedang menyediakan pertuduhan berkaitan isu 1MDB sebelum beliau digantikan dengan Mohamed Apandi Ali pada 2015.

Mohamed Apandi Ali

Semasa ditanya apa yang berlaku kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, saksi itu berkata Abu Kasssim Mohamed berhasrat untuk berhenti pada Ogos 2016 selepas mengalami masalah sakit belakang.

Najib, 66, diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh N Sivananthan.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa - atas kedudukan sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri - menggunakan jawatannyna untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan, bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen