malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Puad: Tiada jaminan 'tengkuk' Hisham akan selamat
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 5:43 PM
Dikemaskini: 9:53 AM
ADS

Seorang tokoh Umno Johor menjadi individu terbaru mengecam bekas naib presiden parti itu, Hishammuddin Hussein, kerana dianggap bertindak "sesuka hati" ekoran terlibat dalam pertemuan dengan Azmin Ali malam tadi.

Bekas ahli parlimen Batu Pahat, Dr Puad Zarkashi, berkata Hishammuddin melanggar prinsip jemaah sekali lagi apabila membawa beberapa pemimpin BN ke rumah timbalan presiden PKR itu ketika penyokong mereka sedang bersemangat meraikan kemenangan di Tanjung Piai.

Kata Puad, walau apa pun alasan diberikan oleh Hishammuddin, perbincangan mengenai pembangunan negara seeloknya dibuat di pejabat, bukan rumah.

"Sebelum ini sudah beberapa kali dia buat perkara yang membingungkan parti dan ahli di bawah.

"Tindakan beliau itu bukan saja boleh memecah-belahkan parti tetapi memusnahkan muafakat nasional," katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Azmin menjadi perhatian malam tadi apabila lebih 20 ahli parlimen - termasuk sebahagian kecil dari PKR - 'berkampung' di kediaman rasmi menteri kanan terbabit.

Perkembangan semasa dalam PKR mencetuskan spekulasi ia ada kaitan dengan gerakan mahu mengetepikan presiden parti itu, Anwar Ibrahim, yang dijanjikan untuk dilantik sebagai perdana menteri pada masa yang tidak disahkan.

Langgar prinsip berjemaah

Azmin menyatakan kecenderungannya untuk mengekalkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga mandat yang diterima PH melalui PRU ke-14 tahun lalu berakhir.

Anwar dan Azmin - serta penyokong mereka - memang diketahui tidak sehaluan sejak beberapa ketika dan ia menjadi lebih ketara apabila parti itu mengadakan pemilihan pada tahun lalu.

Untuk rekod sebelum ini Hishammuddin turut menjadi perhatian apabila mengadakan pertemuan dengan Mahathir pada Julai lalu.

Ahli parlimen Sembrong itu pernah menyatakan rasa kecewanya apabila mendakwa difitnah akan meninggalkan Umno oleh orang Umno sendiri.

“Saya sedih sebab tohmahan itu datang bukan saja daripada lawan, malah orang Umno sendiri tuduh saya macam-macam.

"(Kononnya) hendak pergi Bersatulah... tapi sampai sekarang saya masih Umno," katanya.

Puad berkata sesuatu jemaah boleh menjadi porak-peranda apabila ada pihak yang melanggar prinsip yang disepakati bersama.

Memetik kenyataan Hishammuddin sebelum ini, bekas ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berkata bekas menteri pertahanan itu pernah berkata tidak wajar bagi mana-mana pihak angkut membangkitkan isu perpaduan.

"Tetapi Hisham lupa, melanggari prinsip berjemaah banyak kali adalah keangkuhan melampau.

"Tindak-tanduk beliau tidak menjamin tengkuknya terselamat tetapi membawa padah pada parti dan ummah. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong boleh keciciran," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut kenyataan tersebut.

Lihat Komen