malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ibrahim Ali: Politik Malaysia makin serabut, rakyat pening
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM
ADS

Presiden Putra, Ibrahim Ali menyifatkan politik Malaysia semakin berserabut dan rakyat semakin pening dengan situasai politik terkini.

Beliau berkata, pertemuan membabitkan pemimpin pembangkang dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali semalam menimbulkan lagi persoalan dalam masyarakat.

"Perjumpaan ini tidak ada apa-apa yang dibincangkan dan tiada apa yang penting, mengikut kata Kamarudin Jaafar daripada PKR (dulu Umno, kemudian PAS dan sekarang PKR).

"Dulu (Kamarudin) orang kuat Anwar (Ibrahim), (kini orang kuat Azmin). Boleh tahan juga Kamarudin melompat ya.

"Kalau tidak ada apa yang penting dibincang, kenapa tertutup? Ini boleh disifatkan 'berkhalwat politik'.

"Rakyat makin pening. Rakyat mengharapkan kehidupan yang lebih baik daripada pimpinan politik. Rupa-rupanya ahli-ahli Dewan Rakyat lebih kalut dari rakyat ke hulu ke hilir cari jaminan politik masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malam tadi Azmin mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen BN di kediaman rasminya di Putrajaya.

Ia menimbulkan persoalan tujuan pertemuan itu, memandangkan ia diadakan selepas beberapa hari Pakatan Harapan (PH) tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Perjumpaan dua jam itu dilaporkan dihadiri oleh sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima anggota parlimen PKR termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang) dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak).

Psiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa pertemuan antara anggota parlimen Umno dan Timbalan Presiden PKR itu adalah bagi membincangkan penyaluran projek-projek kerajaan ke kawasan mereka.

Bagaimanapun, Zahid mengakui menerima aduan pihak parti yang merasakan perjumpaan itu membelakangkan nasihat yang dibuat Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob, yang menyebabkan ramai pihak menspekulasikan tujuannya.

Dalam pada itu, Ibrahim secara sinis menyifatkan wakil rakyat yang terlibat perjumpaan itu sebagai masih "belum cukup makan" meskipun menerima gaji puluhan ribu ringgit sebulan.

"Tak cukup makan lagi rupanya walaupun gaji puluhan ribu dan ada yg terima pencen tidak sedikit selain gaji dan elaun sebagai anggota parlimen. Ia lebih memalukan di kalangan anggota parlimen Umno yang terlibat kerana begitu rapuh jati diri dan harga diri," katanya.

Ibrahim yang juga bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata, sepatutnya wakil-wakil rakyat berkenaan berbincang dan mencari idea bagi membantu rakyat serta membangunkan negara.

Namun, tambah Ibrahim, ada yang datang lewat ke parlimen sehingga ada kalanya Dewan Rakyat tidak cukup korum untuk bersidang.

Katanya, berita mengenai pertemuan Azmin dan wakil rakyat pembangkang itu menyebabkan keadaan politik negara dilihat tidak stabil.

"Dan pasti memberi kesan kepada ekonomi negara kerana ianya membuat pelabur-pelabur memberi berbagai reaksi yang negatif.

"Malaysia sudah jadi negara yang berpolitik 24 jam sehari. Lain kerja tak ada," katanya lagi.

Lihat Komen