malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jurutera pandu lawan arus dalam keadaan mabuk hampir 50km
ADS

Seorang jurutera ditahan kerana memandu kereta secara melawan arus dalam keadaan mabuk di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara Selatan menghala selatan, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 64 tahun itu hanya tersedar dirinya telah tersilap jalan selepas memandu hampir 50 kilometer dari lokasi yang hendak dituju sebelum berpatah balik dan melawan arus di lebuh raya berkenaan.

"Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, lelaki warga emas itu dikatakan memandu kenderaannya dari Relau, di bahagian pulau untuk pulang ke hotel penginapannya di Pulau Tikus. Bagaimanapun, dia yang dalam keadaan mabuk telah tersilap jalan hingga menyeberangi Jambatan Pulau Pinang," katanya di Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata jurutera itu terus memandu menghala lebuh raya ke arah utara sehingga ke Tikam Batu, Kedah sebelum menyedari dia telah salah jalan dan bertindak berpatah semula ke arah selatan dengan melawan arus.

Menurutnya, tindakan lelaki itu disedari pengguna lebuh raya yang menghubungi Kaunter Perkhidmatan Aduan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU bagi memaklumkan kejadian memandu melawan arus tersebut kerana bimbang berlaku kemalangan.

Noorzainy berkata lelaki itu yang memandu kereta Perodua Myvi telah melawan arus kira-kira 25 kilometer dan memandu di laluan kanan jalan tanpa langsung menyedari tindakannya itu salah serta boleh menyebabkan kemalangan.

"Polis menahan lelaki itu di Plaza Tol Sungai Dua dan dia mendakwa langsung tidak menyedari memandu melawan arus malah turut memaklumkan telah berpatah balik di laluan yang betul kerana mahu pulang ke hotelnya di Pulau Tikus," katanya.

Tambahnya, ujian awal mendapati lelaki yang berasal dari Taman Bandar Senawang, Negeri Sembilan itu berada di bawah pengaruh alkohol dan pemeriksaan lanjut termasuk ujian air kencing serta darah akan dijalankan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata lelaki itu kini ditahan untuk siasatan menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan Seksyen 45(1) akta yang sama iaitu memandu bawah pengaruh alkohol.

- Bernama

Lihat Komen