malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Dr M pesan jangan bimbang, tekanan darah bagus'
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 3:23 PM
Dikemaskini: 7:23 AM
ADS

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkongsi gambar swafotonya tersenyum bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya tengah hari ini.

Setiausaha agung DAP itu memaklumkan bahawa Dr Mahathir meminta agar semua pihak tidak bimbang dengan kesihatannya dan mahu terus bekerja.

"Berjumpa dengan Dr Mahathir tadi untuk berbincang beberapa isu semasa negara.

"Tun sebut beliau sihat dan mahu terus bekerja di pejabatnya. Tun cakap jangan bimbang, tekanan darah bagus 120/70," kata Lim.

Pagi tadi, Dr Mahathir mengalami pendarahan di hidung semasa sidang akhbar bersama Menteri Industri Utama Teresa Kok di Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa pemimpin berusia 94 tahun itu tidak mengalami masalah kesihatan serius.

PMO juga menafikan laporan berita yang mendakwa bahawa Dr Mahathir telah bergegas ke hospital.

"Beliau (Dr Mahathir) bertugas seperti biasa. Berita yang mengatakan dia bergegas untuk mendapatkan rawatan tidak benar," kata kenyataan itu.

Semasa sidang akhbar selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Kuala Lumpur, hari ini, Dr Mahathir kelihatan mengesat hidungya dengan sapu tangan.

Perdana menteri dijadual menghadiri perhimpunan sarjana Islam dari Asia Tenggara di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen, KLIA, malam ini.

Pelancaran Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pagi tadi merupakan penampilan pertama Dr Mahathir sejak pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor.

PRK itu menyaksikan calon MCA, Wee Jeck Seng mengalahkan Karmaine Sardini dari PH dengan majoriti lebih daripada 15,000 undi.

Beberapa pihak telah menggambarkan kekalahan PH di PRK itusebagai referendum terhadap kepimpinan Dr Mahathir.

Lihat Komen