malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Exco, Adun Perak nyatakan sokongan terhadap MB
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM
ADS

Semua anggota exco kerajaan negeri dan Adun Perak hari ini menyatakan sokongan penuh mereka terhadap Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi rakaman video Ahmad Faizal yang mendakwa bersendirian dalam menentang DAP di negeri itu dan disusuli video lain memaparkan individu mirip exco DAP, Aziz Bari berhasrat untuk menjatuhkan menteri besar berkenaan.

Exco Kanan Perak Asmuni Awi, yang mengetuai sidang media di Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh hari ini, memberi jaminan bahawa kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) masih kukuh.

Beliau berkata terdapat banyak 'fitnah dan khabar angin' serta cubaan untuk mengganggu gugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH.

"Meskipun telah diperjelas beberapa kali sebelum ini sama ada di dalam dewan mahupun di luar dewan, namun usaha-usaha untuk mencipta dan merekayasa persepsi jahat kepada keutuhan kerajaan masih terus berlaku," katanya membacakan kenyataan itu.

"Kebersamaan kami pada hari ini adalah bagi menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal bin Azumu sebagai Menteri Besar Negeri Perak.

"Kami juga ingin memberi jaminan bahawa kerajaan Perak sekarang ini masih kukuh dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus mentadbir negeri ini," jelasnya.

Beliau menggesa semua pihak, terutamanya rakyat Perak untuk mengabaikan segala tohmahan daripada pihak tidak bertanggungjawab dan terus memberikan kepercayaan kepada kerajaan negeri.

Ahmad Faizal bagaimanapun tidak menghadiri sidang akhbar hari ini.

Ini bukan kali pertama Asmuni dan rakan-rakannya menyatakan sokongan kepada Ahmad Faizal. Kali terakhir adalah pada April lalu selepas muncul klip video menampilkan seorang exco menggesa Ahmad Faizal agar ditukarkan.

Baru-baru ini, Ahmad Faizal menjadi sasaran kritikan apabila mendakwa bersendirian dalam melawan DAP demi mempertahankan tanah orang Melayu dan kepentingan agama Islam.

Bagaimanapun beliau kemudian berkata laporan mengenai kenyataan di ambil di luar konteks dan video berkenaan tidak memberikan gambaran yang betul.

Satu lagi klip video menunjukkan seorang individu menyerupai Aziz Bari yang menyatakan keyakinan bahawa tiga Adun Umno akan menyokong beliau sebagai menteri besar baru bagi menggantikan Ahmad Faizal.

Lihat Komen