malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan putuskan PM boleh disaman misfeasance
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 2:36 PM
Dikemaskini: 9:04 AM
ADS

Mahkamah Persekutuan pagi ini memutuskan saman misfeasance boleh diteruskan terhadap perdana menteri dan menteri-menteri kabinet di pejabat awam dan kerajaan bertanggungjawab ke atas tindakan mereka.

Keputusan sebulat suara oleh panel enam hakim itu disampaikan oleh Hakim Nallini Pathmanathan hari ini yang membenarkan rayuan oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung saman misfeasance terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Malaysia berhubung 1MDB pada 2017.

Dengan demikian, mahkamah tertinggi itu juga membenarkan semula saman sivil yang difailkan Pua, yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Oktober 2017.

Keputusan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang kontroversi, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu, bahawa Najib selaku perdana menteri bukan penjawat awam dan oleh itu, tidak boleh disaman misfeanse di pejabat awam.

Di bawah prinsip undang-undang biasa, seseorang penjawat awam juga termasuk ahli-ahli kabinet dan perdana menteri manakala Perlembagaan Persekutuan menyatakan sebaliknya.

Keputusan hari ini menangani dua persoalan undang-undang yang dibawakan peguam Pua kepada kuorum tujuh anggota panel itu. Soalan itu adalah:

  • Sama ada Perdana Menteri atau mana-mana menteri ialah penjawat awam di bawah Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan 1956 bagi maksud tort misfeasance di pejabat awam; dan
  • Sama ada perdana menteri atau mana-mana menteri adalah pegawai awam di bawah Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan 1956 bagi maksud tort misfeasance di pejabat awam; dan

Sama ada mahkamah, dalam menentukan sama ada perdana menteri atau mana-mana menteri lain adalah pegawai awam bagi tort misfeasance dalam pejabat awam, dibatasi oleh takrif "pegawai awam" dalam Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 (1957 ) yang dibaca bersama dengan Artikel 132 dan Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusannya hari ini, mahkamah memutuskan bahawa tort misfeasance di pejabat awam boleh diteruskan terhadap Najib sebagai individu yang memegang jawatan awam atau sebagai "pegawai awam"

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Persekutuan, dalam membuat keputusan penting, memutuskan Najib Razak semasa menjadi perdana menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam.

Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan panel tujuh hakim mahkamah itu berkata perdana menteri atau mana-mana menteri adalah pegawai awam mengikut Seksyen 5, Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Beliau berkata pada peringkat ini, dakwaan prima facie oleh ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam mengandungi elemen yang perlu untuk mengemukakan dakwaan yang sah.

"Tony Pua boleh meneruskan dakwaannya terhadap Najib Razak dan Kerajaan Malaysia dengan cara perbicaraan di mahkamah sivil," katanya.

Bagaimanapun, sama ada atau tidak Pua boleh berjaya dalam perbicaraan akan membabitkan persoalan keterangan berkaitan dengan kemusnahan yang didakwa dideritainya, kata Hakim Nallini.

Panel tujuh hakim itu yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan rayuan Pua untuk mengembalikan semula samannya terhadap Najib dan kerajaan yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2017.

Hakim yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Mohd Zawawi Salleh dan Alizatul Khair Osman Khairuddin (yang baru bersara).

Hakim Tengku Maimun merujuk semula perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan dan menetapkan 26 Nov untuk sebutan.

Beliau memerintahkan Najib membayar RM30,000 sebagai kos kepada Pua tetapi tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung kos yang perlu dibayar oleh kerajaan.

Dalam keputusannya, Hakim Nallini berkata tidak dinyatakan dalam perundangan sama ada dalam Perlembagaan Persekutuan atau Akta Tafsiran untuk membatalkan definisi ‘common law’ bagi terma "pegawai awam".

Beliau berkata tiada undang-undang bertulis spesifik yang dikuatkuasakan di Malaysia yang meminda dan menggantikan salah guna jawatan awam dalam ‘common law tort’.

Hakim Nallini juga berkata salah guna jawatan awam tort juga boleh digunakan terhadap Najib, sebagai seorang individu yang memegang jawatan awam atau sebagai pegawai awam.

Beliau berkata Seksyen 5, Akta Prosiding Kerajaan menetapkan bahawa dakwaan boleh dikemukakan terhadap seorang pegawai awam dan ini akan termasuk dakwaan terhadap Perdana Menteri, yang merupakan seorang pegawai awam seperti ditetapkan dalam Akta itu.

Hakim Nallini berkata kerajaan boleh dipertanggungjawabkan berhubung tindakan seorang Perdana Menteri atau menteri yang lain bagi salah guna kedudukan pegawai awam tetapi sama ada tindakan itu berjaya atau tidak adalah berdasarkan fakta dan undang-undang dalam konteks Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan.

Mahkamah Tinggi menolak saman Pua atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam.

Pua gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai tahun lepas yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, selepas menolak rayuannya (Pua). Beliau kemudiannya mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Pua menyaman Najib dan kerajaan atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan memohon ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau ialah ahli Parlimen Pekan, perdana menteri pada ketika itu dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, dan dalam kapasiti berkenaan beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan dan hala tuju 1MDB.

Pua diwakili barisan peguam Malik Imtiaz Sarwar, Tan Cheng Leong dan Surendra Ananth. Peguam Wan Azmir Wan Majid mewakili Najib manakala Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching mewakili kerajaan.

Lihat Komen