malaysiakini logo
story-image
ADS

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu butiran terpeinci mengenai pertemuan antara sekumpulan anggota Parlimen BN dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali malam tadi.

Bercakap kepada pemberita, Dr Mahathir berkata beliau hanya mendengar mengenai perjumpaan yang diadakan di kediaman rasmi Timbalan Presiden PKR itu di Putrajaya.

"Saya mendengar mengenainya. Saya tidak tahu apa yang mereka bincang," kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.

Ketika ditemui pemberita di parlimen, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin turut mengakui tidak tahu mengenai perjumpaan berkenaan dan hanya membacanya melalui laporan media.

"Saya tidak tahu. Saya hanya baca berita yang anda semua laporkan.

"Jadi, saya tidak tahu cerita sebenar," kata Presiden Bersatu itu.

Malam tadi sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima dari PKR dipercayai hadir di kediaman rasmi Azmin di Presint 10, Putrajaya.

Pertemuan itu berlangsung selama kira-kira dua jam.

Tidak lama selepas anggota-anggota parlimen berkenaan dilihat meninggalkan kediaman Azmin, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa bekas naib presiden parti itu, Hishammuddin Hussein sebagai dalang di sebalik pertemuan tersebut.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan dakwaan Lokman dan bersedia untuk disiasat lembaga disiplin Umno.

Sementara itu,  Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil juga berharap Azmin dapat merungkaikan teka-teki berhubung isu itu pada mesyuarat berkenaan kerana pihak parti setakat ini belum menerima sebarang maklumat mengenai isu itu.

"Saya agak terkejut mendengar dan membaca laporan (pertemuan) itu, waktu ini parti belum terima apa-apa makluman rasmi, mesyuarat esok pasti akan membincangkan perkara ini," katanya

Beliau juga berharap semua kepimpinan tertinggi juga akan hadir pada mesyuarat berkenaan termasuk Azmin.

Lihat Komen