malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LFL gesa Singapura batal hukuman gantung terhadap Helmi
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 10:13 AM
Dikemaskini: 2:13 AM
ADS

Lawyer for Liberty (LFL) merayu kerajaan Singapura menghentikan pelaksanaan hukuman gantung terhadap warga Malaysia, Abd Helmi Ab Halim yang dijadualkan di penjara Changi, Jumaat ini.

Penasihat Kumpulan LFL, N Surendran mendakwa terdapat unsur diskriminasi terhadap rakyat Malaysia oleh republik itu yang memungkinkan Helmi tidak mendapat keadilan sewajarnya.

"Adalah sangat mustahil bagi warga negara kita Helmi menerima perbicaraan yang adil di Singapura. Dalam sistem undang-undang Singapura, kadar luar biasa mereka yang didakwa dalam kes pengedaran dadah akhirnya akan disabitkan. Ini sendiri menunjukkan sistem perundangan yang berat sebelah terhadap tertuduh dalam kes pengedaran dadah.

"Begitu juga, di negara China komunis, mereka yang dituduh tidak mempunyai peluang untuk dibebaskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Helmi disabitkan bersalah dan akan dihukum mati kerana didakwa mengedar 16.56 gram dadah jenis diamorphine pada 24 Mac 2017.

Helmi, 36 yang berasal dari Johor dan telah berkahwin, secara konsisten menafikan tahu mengenai dadah berkenaan.

Surendran berkata, Singapura berusaha menghapuskan keldai dadah yang didakwa, manakala "raja-raja dadah" terus beroperasi tanpa sebarang hukuman.

Penasihat Kumpulan LFL itu mempertikaikan kebebasan kehakiman Singapura.

"Ia juga fakta yang diketahui di peringkat antarabangsa bahawa Singapura tidak mempunyai badan kehakiman yang bebas, mahkamah mereka tidak lebih daripada cabang pemerintah PAP," katanya.

Dalam pada itu, Surendran mendakwa kenyataan yang dibuat pada Mei 2019 di seminar Narkotik oleh Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam menunjukkan bahawa rakyat Malaysia telah lama menjadi sasaran.

"Pengenaan hukuman mati atas jenayah dadah telah diumumkan oleh PBB sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

"Malaysia telah mengisytiharkan moratorium terhadap pelaksaan hukuman mati, sementara menunggu pembatalan hukuman mati atas kesalahan dadah.

Sementara itu, LPF menyeru kerajaan Singapura menangguhkan hukuman mati terbabit selain menggesa kerajaan Malaysia menghantar segera wakil bagi menyelamatkan Helmi.

"Kami menyeru kerajaan Singapura untuk menghentikan hukuman terhadap Helmi dan mengkaji semula hukuman mati atas jenayah dadah," katanya.

Lihat Komen