malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tujuh pelajar SPM disyaki rakam aksi rogol mangsa 14 tahun
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 9:02 AM
Dikemaskini: 1:02 AM
ADS

Sekumpulan remaja yang ditahan kerana didakwa merogol seorang gadis berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Tawau, Sabah dikatakan turut merakam video kejadian berkenaan.

Difahamkan, rakaman itu telah diserahkan kepada pihak hospital bagi tujuan penilaian dalam siasatan kes rogol membabitkan mangsa yang belajar di sekolah sama, lapor Borneo Today.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi portal berkenaan, enggan mengulas perkara itu.

Peter menjelaskan tempoh reman terhadap tujuh suspek berkenaan tidak akan dilanjutkan selepas tamat hari ini.

“Mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan semua suspek berjaya ditahan pada Jumaat lalu.

“Segala keterangan mereka telah dirakam dan polis sedang mengumpul semua bukti berkaitan sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

Berdasarkan laporan polis, difahamkan dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, seorang guru wanita di sekolah tersebut melihat dua daripada suspek keluar dari bilik suis dalam keadaan mencurigakan.

Seorang pelajar lain kemudian memaklumkan guru berkenaan mengenai kehadiran mangsa dalam keadaan separuh bogel di bilik tersebut.

Hasil pemeriksaan, guru tersebut menemui pelajar tingkatan dua itu sedang membetulkan pakaiannya.

Selepas ditanya mengenai kehadirannya di bilik tersebut, pelajar terbabit mengaku dirogol dua suspek manakala selebihnya melakukan oral seks terhadapnya.

Guru berkenaan kemudian memaklumkan perkara itu kepada Penolong Kanan sekolah sebelum ibu mangsa membuat satu laporan polis pukul 3.30 petang, Jumaat lalu.

Lihat Komen