malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bubar Parlimen lepas PH kalah di Tg Piai cadangan lucu'
ADS

Penganalisis politik menyifatkan gesaan Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob agar Pakatan Harapan (PH) membubarkan Parlimen selepas kalah dalam beberapa PRK - yang terbaru di Tanjung Piai - sebagai melucukan.

Bagaimanapun mereka berpendapat jika penolakan terhadap PH berterusan, peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu dipercepatkan.

“Cadangan itu dilihat tergesa-gesa dan dilihat terlalu yakin, serta seperti ada muslihat politik tertentu.

“Dari segi logik, ia agak lucu kerana hanya menang satu (lagi) kerusi tetapi berimpian hendak tawan 222 kerusi,” kata Prof Awang Azman Awang Pawi dari Univerisiti Malaya (UM) kepada Malaysiakini.

Awang Azman

Pada masa sama Awang Azman membangkitkan kritikan terhadap Mahathir terutama susulan kekalahan PH pada Sabtu lalu.

Jika kritikan itu berterusan, katanya, ia memberi bayangan bahawa peralihan kuasa kepada Anwar perlu dilakukan.

"Jika tidak seolah-olah Mahathir berat hati untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar. Ia boleh menyebabkan rakyat lebih marah kepadanya kerana tidak memberi peluang kepada Anwar untuk membaiki pentadbiran," katanya sambil berkata pihak dalam PKR juga akan menggesa perkara itu dilakukan.

Terdahulu, bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali menyifatkan keputusan PRK Tanjung Piai sebagai referendum terhadap kerajaan pimpinan Mahathir, manakala Anggota Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata perdana menteri memerlukan rancangan baru untuk mengelakkan PH daripada lebih banyak kekalahan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyeru semua pemimpin dan ahli parti itu agar mendukung pimpinan Mahathir, sementara Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata kekalahan di Tanjung Piai ialah "tanggungjawab bersama" PH.

'Peralihan kuasa perlu harmoni'

Mahathir selaku pengerusi Bersatu turut berkempen untuk calon PH Karmaine Sardini, selain menulis surat terbuka kepada pengundi Tanjung Piai untuk menolak calon MCA Wee Jeck Seng.

Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Wee menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi, apabila meraih 25,466 undi berbanding Karmaine dengan 10,380 undi. 

Ismail Sabri membuat gesaan itu semalam dengan berkata kerajaan telah hilang keyakinan rakyat berikutan kalah tiga PRK berturut-turut sebelum ini, iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Katanya, mesej penolakan jelas jika mengambil kira majoriti BN yang meningkat, daripada lebih 3,000 undi di Cameron Highlands, 4,000 di Semenyih dan Rantau dan 15,000 di Tanjung Piai.

Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata terlalu awal untuk Parlimen dibubarkan dan lebih baik jika PH menghabiskan tempoh satu penggal seperti biasa.

"Ia terlalu awal, membazir dan perlu ada sebab yang benar-benar konkrit," katanya ketika dihubungi.

Azizuddin

Berhubung peralihan jawatan perdana menteri, beliau berkata ia perlu dilakukan secara harmoni.

"Mungkin perlu dipercapatkan tetapi secara harmoni... Pihak yang menentukan sama ada cepat atau tidak tetap Majlis Presiden PH.

"Mereka pasti akan menilai implikasi (kekalahan) di Tanjung Piai. Jika ada yang merasakan ia perlu dipercepatkan, mungkin itulah tindakan yang akan dilakukan," katanya lagi.

Sebelum PRU lalu, PH menjadikan Mahathir sebagai calon perdana menteri berdasarkan persetujuan beliau akan menyerahkan kedudukan itu kepada Anwar.

Beliau pada mulanya berkata akan memegang jawatan itu selama kira-kira dua tahun, tetapi dalam beberapa wawancara berkata ia mungkin boleh mengambil masa sehingga tiga tahun.

Bagaimanapun terdapat gesaan agar beliau kekal di jawatan itu selama satu penggal penuh, antaranya Azmin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Lihat Komen