malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
UPM tangguh program Hadi
Diterbitkan:  Nov 18, 2019 3:44 PM
Dikemaskini: 9:39 AM
ADS

Universiti Putra Malaysia (UPM) menangguhkan program Presiden PAS Abdul Hadi Awang di universiti itu yang pada mulanya dijadual berlangsung esok.

Perkara itu dimaklumkan setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman yang turut memuat naik sepucuk surat UPM berkenaan perkara itu bertarikh 18 November 2019 (hari ini).

"Pihak kami telah dimaklumkan program syarahan akademik yang dijadualkan akan disampaikan oleh Abdul Hadi di UPM esok, Selasa 19 November, telah ditangguhkan.

"(Ia disampaikan) Melalui surat daripada pihak HEP UPM bertarikh hari ini, atas sebab yang tidak dapat dielakkan," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook Abdul Hadi.

Dalam surat itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM meminta Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) selaku penganjur Karnival Inspirasi Putra untuk menangguhkan program bertajuk Slot Bicara Eksklusif bersama Abdul Hadi.

HEP UPM berkata ia atas sebab yang tak dapat dielakkan dan slot itu akan diganti dengan sesi Wacana Intelek yang akan diadakan kelak.

Mengulas perkara itu, Presiden PMIUPM Muhammad Hakim Paimin menyuarakan kekecewaan terhadap perkara itu yang disifatkan dibuat di saat akhir.

"Penangguhan baru dibuat pagi tadi sedangkan esok malam sudah program.

"Tarikh ini kami sudah tempah (dengan) Tuan Guru (Hadi) sejak semester lepas lagi, dan sepatutnya program ini tiada apa-apa masalah untuk dijalankan sebab HEP sudah beri kelulusan," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau mendakwa wujud tekanan kerajaan kepada pihak UPM sehingga program itu terpaksa dibatalkan.

Ketika ditanya sama ada topik program bicara itu menjadi sebab penangguhan, beliau berkata tidak.

"Topiknya ialah 'Islam membawa kesatuan'. Malah kami sempat berjumpa dengan wakil Kementerian Pendidikan dan universiti untuk dapatkan respons dan mereka nasihat untuk gandingkan dengan mana-mana wakil kerajaan untuk slot itu.

"Tetapi sedang kami usahakan untuk dapatkan wakil kerajaan, pemakluman penangguhan dibuat," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM dan setiausaha akhbar Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk mengulas perkara itu.

Lihat Komen