Semasa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjadi pemegang amanah, Yayasan Akalbudi didakwa tidak menyalurkan walau satu sen pun daripada dana RM31 juta untuk kegiatan membantu golongan miskin dan memerlukan.
Dakwaan itu didedahkan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dalam ucapan pembukaannya, semasa perbicaraan Ahmad Zahid melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bermula hari ini.
Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.
Perbicaraan dibacakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, dan Ahmad Zahid pula diwakili oleh peguam bela Hisham Teh Poh Teik.
Kata Raja Rozela, pendakwaan akan memulakan perbicaraan dengan cuba membuktikan bahawa Ahmad Zahid telah menyeleweng kira-kira RM31 juta dana milik Yayasan Akalbudi, selaku sebuah organisasi pertubuhan diperbadankan, yang ditubuhkan bagi membantu golongan miskin dan memerlukan.
“Jejak aliran tunai akan dibentangkan di mahkamah bagi mendedahkan bahawa tidak ada satu sen pun daripada RM31 juta itu digunakan untuk kepentingan orang miskin.
“Sebaliknya, jejak aliran tunai akan mendedahkan satu amaun besar digunakan untuk, antara lain, membayar bil kredit kad peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi,” katanya.
Kata Raja Rozela, selepas itu, pihak pendakwaan akan meneruskan dengan pertuduhan rasuah yang menuduh Ahmad Zahid menerima RM17 juta semasa menjadi menteri dalam negeri, sebagai balasan memberikan tiga kontrak kepada beberapa syarikat berbeza
Tertuduh turut didakwa menerima RM4.25 juta daripada “seseorang” sekitar waktu sama, sebagai imbuhan kepada tertuduh untuk menganugerahkan projek MyEG yang berada dalam bidang kuasa KDN.
Untuk pertuduhan pengubahan wang haram pula, Ahmad Zahid dituduh menerima cek dianggarkan bernilai RM65 juta dari beberapa pihak melalui seorang peguam, yang kemudiannya didepositkan ke dalam akaun tertuduh.
Tertuduh kemudiannya didakwa menggunakan wang tersebut untuk membeli dua unit banglo bernilai RM5.9 juta.
“Keterangan saksi dan bukti dokumentari akan dikemukakan untuk menunjukkan bahawa tertuduh tahu atau mempunyai sebab untuk tahu bahawa jutaan ringgit yang diterimanya adalah hasil aktiviti haram,” kata Raja Rozela lagi.
Ahmad Zahid didakwa dengan pertuduhan-pertuduhan tersebut pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari tahun ini.
Pertuduhan-pertuduhan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (CBT), Seksyen 16 (1)(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019 (rasuah), dan Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfapua).
Untuk tuduhan CBT, 20 saksi akan dipanggil oleh pendakwaan, manakala 15 orang akan dipanggil untuk tuduhan rasuah.
Sebelum itu, mahkamah menolak permohonan Hisham untuk mencabar peruntukan Akta SPRM dan Akta Amlatfapua dari segi perlembagaan, melibatkan tuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid.
Dalam permohonannya, Hisham berkata cabaran itu dilakukan kerana ia melibatkan kebolehterimaan dokumen yang dikeluarkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.
Hakim Sequerah dalam alasannya, bersetuju dengan hujah oleh Raja Rozela bahawa permohonan itu adalah pramatang memandangkan perbicaraan belum lagi bermula.
“Cabaran itu, buat masa ini, adalah pramatang kerana ia bersifat tanggapan terhadap kebolehterimaan dokumen yang disediakan oleh pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, Sequerah mengarahkan dokumen dalam pertikaian ditandakan untuk tujuan pengenalpastian dan apa-apa pertikaian mengenainya boleh dibangkitkan ketika ia dibentangkan semasa perbicaraan di mahkamah.
“[…] Semasa penggulungan kes pendakwaan, saya akan tentukan kebolehterimaan dokumen berkenaan,” katanya lagi yang kemudiannya mengarahkan perbicaraan diteruskan.