malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LANGSUNG: BN menang besar, majoriti 15,086 undi - Rasmi SPR
ADS

LAPORAN LANGSUNG

Terima kasih ikuti laporan langsung Malaysiakini

Laporan ini mengakhiri liputan Malaysiakini dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Laporan oleh Zikri Kamarulzaman, Ng Xiang Yi dan Ramieza Wahid. Siaran langsung KiniTV pula dibawakan oleh Vivian Yap, Baharudin Suarnur dan Syazwana Amir. Grafik oleh Syariman Badrulzaman manakala kemas kini media sosial oleh Ewe Linq Yenn. Pengkodan oleh Lee Long Hui. Analisis oleh Nigel Aw.

Jika pembaca sukakan laporan kami, sokong media independen dengan melanggan Malaysiakini pada harga serendah RM0.55 sehari. Klik di sini untuk maklumat lanjut.


BN menang besar, raih majoriti 15,086 undi - Rasmi SPR

9.18 malam: Dewan Jubli Intan, Jalan Osman - SPR mengumumkan secara rasmi kemenangan calon BN Wee Jeck Seng.

Keputusan adalah seperti berikut:

BN - 25,466

PH - 10,380

Gerakan - 1,707

Berjasa - 850

Ang Chuan Lock - 380

Faridah Aryani Abd Ghaffar - 32

Terdapat 565 undi rosak dan peratusan keluar mengundi sebanyak 74.5 peratus.

BN menang dengan majoriti besar 15,086 undi.

Ini bermakna PH cuma mendapat 26.74 peratus undi manakala BN meraih 65.61 peratus undi daripada keseluruhan undi.

Calon-calon Gerakan, Berjasa dan bebas akan kehilangan wang deposit mereka.

Seseorang calon perlu mendapatkan satu perlapan daripada keseluruhan undi untuk mendapat kembali wang deposit.

Sementara itu, Presiden Bersatu Muyiddin Yassin ketika diminta mengulas berkata akan mengeluarkan kenyataan kemudian.

Calon PH Karmaine Sardini pula berkata reda menerima kekalahan tersebut dan akan membuat analisa bagi meneliti perkara itu.


9.15 malam: Dewan Jubli Intan, Jalan Osman - Lebih daripada 1000 ahli penyokong BN telah berkumpul di tempat pengiraan undi bagi meraikan kemenangan calon MCA, Wee Jeck Seng.

Penyokong-penyokong mengibarkan bendera BN sambil menyanyikan lagu.

Ketua Wanita MCA Tanjung Piai, Hong Kim Kek, 58 berkata beliau berasa amat gembira kerana kemenangan besar ini menunjukkan maruah orang Cina dipertahankan.

Hong yang juga merupakan Ketua Wanita MCA Tanjung Piai berasa prestasi Jeck Seng selama ini memang tidak boleh dipertikaikan dan ini adalah kemenangan yang sepatutnya dimiliki olehnya.

Walau bagaimanapun, beliau turut berasa emosi harus dikawal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.


Syed Saddiq: Kekalahan ini pahit ditelan

9.00 malam: Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon kemaafan daripada anak muda Malaysia atas kelemahannya berhubung kekalahan calon gabungan itu pada PRK Tanjung Piai.

"‪Kekalahan ini pahit untuk ditelan.‬ ‪Rakyat sudah bersuara.‬ Suara rakyat, suara keramat.‬

"Saya memohon kemaafan daripada anak muda Malaysia atas kelemahan saya. ‪Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan.‬ ‪Sekali lagi, minta maaf," katanya pada suatu hantaran di media sosial.


8.30pm: BGU Barisan Nasional, Jalan Umno - Setelah kemenangan hampir dipastikan, seluruh pemimpin BN dan para penyokong yang berkumpul mula berarak ke tempat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Pontian.

SPR bakal mengumumkan kemenangan Wee Jeck Seng secara rasmi nanti.

Pihak berkuasa menutup sebahagian Jalan Alsagoff bagi memberi laluan kepada kira-kira 500 yang menyertai perarakan itu.

Wee bersama-sama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak berada di barisan depan.

Percikan bunga api serta hon daripada kereta yang lalu di kawasan itu memeriahkan suasana.

Mereka tiba di Dewan Jubli Intan kira-kira 20 minit kemudian.



Hisham: Kemenangan BN di luar jangkaan

8.15 malam: Pusat gerakan BN, Jalan Umno - Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein berkata kemenangan besar BN di Tanjung Piai merupakan suatu yang di luar jangkaan.

"Ini sungguh menggalakkan. Ia di luar jangkaan kami. Saya fikir ia menjadi cerminan terhadap komponen BN. Kami tidak mungkin dapat melakukan ini tanpa MCA dan MIC.

"Inilah apa yang dimahukan rakyat. Ini permulaan baik untuk BN.

"Kami tidak boleh angkuh. Ini cuma Tanjung Piai. Kami perlu buat banyak lagi kerja untuk kembali ke laluan yang betul," katanya.


Dr M punca harapan PH berkecai di Tg Piai - Syed Husin

8.00 malam: Bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin ALi berkata keputusan PRK Tanjung Piai merupakan referendum terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Ini referendum terhadap PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH khususnya Dr Mahathir.

"Beliau harus tahu apa yang patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi," katanya pada ciapan di Twitter.

Dr Mahathir turun berkempen di Tanjung Piai dan beliau turut berceramah pada Rabu malam.

Semalam, pengerusi PH itu menulis surat meminta pengundi untuk menyokong calon PH Karmaine Sardini.

Sebelum ini, Syed Husin pernah mengkritik Dr Mahathir kerana menunda pelan peralihan kuasa untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.


Karmaini tiba di bilik gerakan PH

8.00 malam:  Bilik Gerakan Utama PH, Eco Rambah, Pontian - Selepas menyaksikan keputusan tidak rasmi yang terpapar di skrin di sini, terdapat penyokong PH yang berkata sudah mahu pulang.

Bagaimanapun, sesetengah penyokong berkata masih terlalu awal untuk berkata bahawa kemenangan berpihak pada BN.

Tiada sebarang insiden buruk yang dilaporkan.

Calon PH Karmaine Sardini juga baru tiba di perkarangan kawasan ini, bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir.


Tak rasmi: BN hancurkan PH di Tg Piai

Malaysiakini mengatakan BN secara tidak rasmi telah memenangi Tanjung Piai dengan majoriti lima angka.

Dengan kiraan undi berpihak kepada BN sebanyak 20,352 undi, gabungan itu telah meraih lebih daripada separuh jumlah keseluruhan undi.

Ini bermakna PH tidak mungkin dapat mengejar lagi.

Malaysiakini menganggarkan peratusan keluar mengundi sekitar 75 peratus, bermakna 39,739 pemilih mengundi hari ini.


Pemuda BN tepuk tangan raikan kemenangan Tg Piai

7.30 petang: BGU Barisan Nasional, Jalan Umno - Dengan menghampiri kemenangan, Pemuda BN di sini mula menyanyikan lagu "Tanjung Piai kita punya" sambil bertepuk tangan.

Semangat dan suasana menjadi amat hangat apabila jarak undian semakin meningkat di antara BN dengan PH.

Ahli-ahli BN turut melaungkan slogan “terima kasih kepada PAS” dan “takbir Allahu Akhbar”.

Kini, sudah lebih 300 orang berkumpul dan menantikan pengumuman kemenangan. 


BN dahului hampir 10,000 undi

7.20 petang: Menurut keputusan tidak rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon BN Wee Jeck Seng mendahului hampir 10,000 undi.

BN menerima 15, 341 undi manakala calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini mendapat 5796 undi.


Undi PH merosot di dua PDM majoriti Cina

7.15 petang: Sumber PH memberitahu Malaysiakini bahawa gabungan itu mendapat keputusan kurang memberansangkan di pusat daerah mengundi Jalan Rimba Terjun dan Kampung Duku.

Kedua-dua PDM itu memiliki majoriti pengundi Cina.

Jalan Rimba Terjun terdiri daripada 80.98 peratus pengundi Cina, 16.7 peratus pengundi Melayu dan 2.05 peratus pengundi India.

Kampung Duku pula terdiri daripada 61.35 peratus Cina, 36.65 peratus pengundi Melayu dan 1.26 peratus pengundi India.

Pada pilihan raya umum lepas, PH memenangi PDM Jalan Rimba Terjun dengan 78.77 peratus undi manakala di Kampung Duku, gabungan itu menang dengan 63.39 peratus undi.

Sumber PH berkata mereka bimbang gabungan itu tewas di kedua-dua daerah mengundi tersebut pada pilihan raya kecil ini.


Bilik Gerakan Utama PH lengang

7.02 petang: Bilik Gerakan Utama PH - Cuaca yang tadi hujan kini sudah mula berhenti.

Bagaimanapun dianggarkan tidak sampai 150 penyokong yang berada di sekitar kawasan tersebut.


Penyokong BN berkumpul di bilik gerakan, laung takbir

7.00 petang: Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional.

Penyokong BN yang berada di bilik gerakan ini kelihatan penuh bersemangat dengan kiraan undia yang mendahului Pakatan Harapan (PH).

Lebih 200 penyokong BN yang berkumpul bersorak dan melaungkan "Takbir, Allahu Akbar" setiap kali keputusan Pusat Daerah Mengundi (PDM) diumumkan.

Pemimpin BN seperti Ismail Sabri dan Wee Ka Siong sudah berada di dalam "war room" bagi menyemak keputusan undi. 


BN dahului dengan majoriti lebih 1,000 undi

6.40 petang:  Menurut keputusan tidak rasmi setakat ini, BN mendahului dengan 1,721 undi manakala PH mengekori dengan 675 undi, yang menyaksikan perbezaan lebih 1,000 undi.

Gerakan berada di tempat ketiga apabila mendapat 161 undi manakala Berjasa memperolehi 63 undi.

Sementara itu calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperolehi 26 dan tiga undi.


BN dahului kiraan undi awal dan undi pos.

5.58 petang: BN mendahului dengan 273 undi manakala PH mengekori di tempat kedua dengan 162 undi.

Berjasa mendapat tujuh undi, Gerakan (3), calon bebas Ang Chuan Lock (1), manakala seorang lagi calon bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar tidak memperoleh sebarang undi.

Walaupun BN boleh memenangi undi awal dan undi pos, PH nampaknya mencatatkan peningkatan lebih baik.

Pada pilihan raya umum lepas, BN memenangi 68.75 peratus undi awal dan undi pos tetapi menurun kepada 61.21 peratus pada PRK ini.

Sementara itu, PH mencatatkan keputusan lebih baik bagi undi awal dan undi pos dari 20.09 peratus pada PRU lepas kepada 36.32 peratus pada PRK ini.

PAS, yang tidak bertanding dalam PRK ini, memperoleh 11.16 peratus daripada undi awal dan undi pos pada PRU lepas.


Tentang kawasan Parlimen Tanjung Piai

  • Ia diwujudkan ketika PRU 2004.
  • Anggota parlimen pertamanya ialah presiden MCA ketika itu, Ong Ka Ting.
  • Calon BN Wee Jeck Seng menjadi anggota parlimen di situ pada 2008 hingga 2018.
  • Beliau tewas di tangan Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada PRU lalu. Ia kali pertama BN gagal mengekalkan kemenangan di situ.
  • Ia terletak di Pontian dan merangkumi dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Pekan Nenas dan Kukup.
  • Pada PRU lalu, Umno menang di Kukup manakala DAP di Pekan Nenas.

Tanjung Piai dikenali sebagai penghujung benua Asia.


Pusat mengundi ditutup

5.30 petang: Pengundian PRK Tanjung Piai ditutup secara rasmi.

Seramai enam calon yang merebut kerusi itu, iaitu Karmaine Sardini (PH), Wee Jeck Seng (BN), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen bermula pada 2 November dan berjalan selama dua minggu.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Md Farid Md Rafik dari Bersatu, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

Pada PRU lalu, Allahyarham Md Farid menang tipis dengan majoriti 524 undi. Beliau mendapat 21,255 undi manakala Wee 20,731 undi. Nordin Othman yang bertanding menggunakan tiket PAS meraih 2,962 undi.

PAS tidak bertanding dalam PRK ini dan menyokong BN.

Lihat Komen