malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PRK TG PIAI | Kempen PRK Tanjung Piai berakhir malam ini dengan kedua-dua ceramah Pakatan Harapan (PH) dan BN menarik hadirin dengan jumlah yang boleh dikatakan sederhana.

Bagaimanapun berbeza pula dengan mesej yang disampaikan para penceramah dengan masing-masing membuat usaha terakhir menjelang hari mengundi esok.

Para pemimpin PH konsisten melakarkan BN sebagai bersifat perkauman terhadap kaum bukan Melayu, manakala MCA bersusah-payah berusaha memastikan mana-mana undi protes masyarakat Cina akan pergi kepada parti itu, bukannya Gerakan.

Berucap di lokasi berdekatan pasar Pekan Nanas, Presiden MCA Wee Ka Siong merayu agar pengundi Cina memilih mereka.

"Gerakan nak pecahkan undi. Jangan, jangan, jangan," katanya.

"Selain undi Melayu, saya sebagai presiden MCA turut merayu undi orang Cina. Kita telah menunggu peluang ini begitu lama," kata Ka Siong.

Tidak jauh dari situ, di bandar Pontian, PH berulang kali membangkitkan video exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris yang berkata dia berharap Umno dan PAS mendapat majoriti dua pertiga agar hak mengundi orang Cina dan India ditarik balik.

"Ini gila punya orang," kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, yang menegaskan Malaysia adalah untuk semua kaum dan agama.

Turut menjadi perhatian ialah kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan "di mana letaknya maruah Melayu" apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memegang jawatan menteri kewangan.

Video yang merakam kenyataan Najib dan Wan Muhammad Azri ditayang sebanyak dua kali ketika ceramah itu.

Bagaimanapun malam ini bukan hanya tentang meraih sokongan pengundi Cina.

BN mengadakan ceramah kecil di beberapa pusat daerah mengundi majoriti Melayu, termasuk satu ceramah yang menampilkan Najib dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Ketika berucap di Penerok, Najib menyangkal dakwaan bahawa kenyataannya tentang Guan Eng bersifat perkauman, dan mengatakan pemimpin DAP itu berbeza dengan bekas menteri kewangan Tan Siew Sin.

"Siew Sin bukan macam Guan Eng. Dia tak pernah cakap macam Guan Eng. Dia (Guan Eng) cakap Muafakat Nasional antara PAS dan Umno seperti isytihar perang (kepada) orang bukan Islam," kata Najib.

Pada masa sama, PH mengadakan ceramah bertemakan Maulidur Rasul di ruang letak kereta sebuah restoran di bandar Pontian.

Poster ceramah itu turut menjanjikan kuiz dan hadiah hamper tetapi Malaysiakini tidak melihatnya di program tersebut.

Ceramah berselang-seli antara agama dan politik, dan calon PH Karmaine Sardini singgah sebentar untuk meminta hadirin mendoakan kemenangannya.

Malam semakin larut dan beberapa kereta melalui lokasi itu sebanyak dua kali, sambil membunyikan hon.

Sejumlah 100 orang hadir ke ceramah tersebut, yang antaranya menampilkan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pemuda DAP Johor Sheikh Omar Ali.

PH mengadakan ceramah utamanya di Pontian, yang menarik 300 hadirin.

Menariknya ada kumpulan kecil di satu sudut ceramah itu yang bertindak sebagai tukang sorak. Mereka berulang kali melaungkan "Pakatan Harapan" dan "undi empat", merujuk kepada nombor Karmaine di kertas undi.

Antara yang berucap ialah Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Pemimpin utama PKR tidak kelihatan di dua pentas ceramah PH tersebut.

Acara MCA yang bermula pukul 7.30 petang tampak lebih meriah, dengan kehadiran kira-kira 800 orang. Kiraan penganjur pula sebanyk 1,800 hadirin.

Ketika awal program, dua penyanyi tempatan mempersembahkan lagu bahasa Hokkien.

Sebaik ucapan bermula, hadirin melaungkan "er hao" (nombor dua) dan "Jeck Seng" dengan penuh semangat sepanjang ceramah.

Ketika pusingan akhir kempen, Ka Siong menggesa pengundi agar tidak membazirkan undi mereka kepada Gerakan.

Program itu menampilkan barisan pemimpin Umno dan MCA, antaranya Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon, setiausaha agung Chong Sin Woon, ketua pemuda Nicole Wong.

Antara pemimpin Umno yang hadir ialah setiausaha agung Annuar Musa, ketua pemuda Asyraf Wajdi Dusuki dan ketua bahagian Tanjung Piai Jefridin Atan.

Lihat Komen