malaysiakini logo
story-image
ADS

Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, masing-masing atas satu pertuduhan mencederakan seekor anjing dengan kejam, Januari dan November lepas.

Pemandu peribadi, Amir Abd Salim Meor Lope, 51, dan pemandu lori, S. Mathialakan, 55, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Berdasarkan pertuduhan, Amir Abd Salim didakwa dengan kejamnya telah mencederakan seekor anjing sehingga menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya di belakang bengkel kereta tidak bernombor di Jalan Miri Taman Beringin, Jinjang Utara di Kuala Lumpur antara 4 dan 5 Jan lepas.

Mathialakan pula dituduh melakukan perbuatan sama di hadapan sebuah rumah, di Taman Maluri, di Kuala Lumpur pada 7.23 pagi, 10 Nov lepas.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum menurut Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimun RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Veterinar Wilayah Persekutuan, Hasiah Musa menawarkan jaminan masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua OKS.

Mathialakan yang diwakili peguam S.I. Rajah manakala Amir Abd Salim yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan mereka penanggung utama keluarga.

Mahkamah membenarkan kedua-dua OKS masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Dis untuk sebutan semula kes.

Mereka membayar jaminan tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen