malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Papagomo: DAP kitar semula video lama, terdesak raih undi Cina, India
Diterbitkan:  Nov 15, 2019 2:42 PM
Dikemaskini: 7:40 AM
ADS

PRK TG PIAI | Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata video rakaman beliau mengenai hak mengundi kaum Cina dan India dikitar semula oleh DAP.

Lebih dikenali sebagai Papagomo, beliau juga mendakwa DAP terdesak untuk meraih undi kaum Cina dan india serta takut mengeluarkan rakaman penuh video tersebut.

"Video saya yang tular telah diambil tanpa melihat rakaman penuh yang asal. Video yang direkodkan pada Oktober 2018 ini sebelum ini juga telah diviralkan pada November 2018.

"Video lapuk dikitar semula hari ini oleh DAP kerana terdesak mahu mendapatkan sokongan undi kaum Cina dan India," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, video tersebut dirakam sendiri olehnya bagi mengulas kenyataan Senator DAP, Nga Hock Cheh yang didakwanya membangkitkan isu status agama pada MyKad.

"DAP takut untuk mengeluarkan rakaman penuh video tersebut kerana dalam kenyataan saya tersebut hanya ditujukan kepada DAP.

"Seorang senator Cina DAP telah membangkitkan isu di Dewan Negara yang mana mahu perkataan Islam dibuang dari kad pengenalan orang Islam.

"Ini isu sensitif yang menyebabkan saya amat marah kepada DAP dan isu ini membuktikan bahawa DAP tidak menghormati perlembagaan yang ada," dakwanya.


Baca: Senator: Saya tak pernah kata gugur agama pada MyKad


Untuk rekod, pada April tahun ini, Nga dilaporkan menyebut bahawa status agama seseorang harus digugurkan daripada MyKad.

Namun, Nga menjelaskan kenyataan beliau disalah petik dan disalah fahami hingga menimbulkan kritikan pelbagai pihak.

Nga memberitahu, beliau tidak pernah menyebut status agama seseorang harus digugurkan daripada MyKad sebaliknya menekankan mengenai pentingnya identiti nasional.

Menurut hansard ucapannya di Dewan Negara pada 24 April, senator itu berkata:

"Antara contoh, seorang bayi apabila dia dilahirkan, dia diberikan identiti mengikut kaum. Dia tidak diberikan identiti nasional. Kalau boleh dari sejak kecil, dia menganggap sendiri sebagai seorang warganegara Malaysia. He sees himself as a Malaysian. Isu perkauman tidak akan timbul”.

'Musuh saya Melayu, Cina, India dari DAP'

Terdahulu, satu klip video tular di media sosial menunjukkan Muhammad Azri berkata kaum Cina dan India harus dilucutkan hak mengundi sekiranya Umno-PAS berjaya menubuhkan kerajaan Bumiputera.

"Kalau dapat dua pertiga majoriti, saya nak tarik hak mengundi itu. Kaum India dan Cina tidak dibenarkan untuk mengundi di Malaysia," katanya dalam klip selama 30 saat itu.

Bagaimanapun, Papagomo menjelaskan kenyataan beliau ditujukan kepada pengundi India dan Cina daripada DAP sahaja.

"Hampir semua orang Melayu kenal saya. Saya ultra Melayu dan anti DAP. Musuh Saya DAP, baik Cina, Melayu, India DAP semua adalah musuh.

"Cina MCA bukan Cina DAP, Cina MCA sejak sekian lama bersetuju dengan perlembagaan negara, tidak seperti DAP yang menolak apa yang telah termaktub dalam perlembagaan," dakwanya.


Lihat Komen