malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes NFC: Mahkamah bebaskan Rafizi, bekas kerani bank
ADS

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengetepikan sabitan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) dan membebaskan serta menggugurkan tertuduh dari hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa menyampaikan keputusan itu pada akhir rayuan Rafizi dan Johari terhadap sabitan berhubung pendedahan data perbankan dari akaun National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail pada tahun 2012.

Mohd Yazid memutuskan bahawa beliau membenarkan permohonan Rafizi kerana pendakwaan gagal mengemukakan dokumen asal sebagai keterangan dalam perbicaraan, yang merupakan syarat di bawah Seksyen 61 Akta Keterangan.

Beliau berkata salinan siaran akhbar yang dikeluarkan semasa perbicaraan itu adalah "jelas bukti sekunder", dan hanya boleh diterima di bawah peruntukan gabungan Seksyen 65 dan Seksyen 63 (b) Akta Keterangan 1950.

Kata Mohd Yazid, ia tidak boleh dijadikan bukti jika penjelasan tidak diberikan tentang kenapa dokumen asal tidak dikemukakan di mahkamah.

"Oleh itu, pihak pendakwaan sepatutnya memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan bahawa pencarian yang mencukupi dilakukan bagi mendapatkan dokumen asal P4.

"Selain itu, saksi harus memberikan penjelasan tentang bagaimana dokumen asal P4 hilang atau tidak dapat dijumpai.

"Pihak pendakwa telah memanggil pegawai bank untuk memberi keterangan, bagaimanapun, keterangan saksi gagal memenuhi persyaratan di atas agar P4 diterima di bawah syarat-syarat di atas.

"Tanpa bukti ini, dokumen ini P4 dan lampirannya (bertanda) A hingga D tidak boleh diterima di bawah Seksyen 65 (1) (c) Akta Keterangan," kata hakim itu dalam keputusannya.

Rafizi, yang merupakan bekas ahli parlimen Pandan dan Johari dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari 2018 selepas Hakim Zamri Bakar mendapati mereka bersalah kerana mendedahkan data perbankan dari akaun NFC.

Hakim Zamri dalam penghakimannya tahun lalu berkata pendakwaan telah membuktikan bahawa Rafizi dan Johari telah melanggar Akta Bafia.

Untuk rekod, Bafia telah dimansuhkan pada tahun 2013.

Kedua-dua mereka didakwa pada 2012 kerana melanggar Seksyen 97 Bafia bagi pendedahan empat akaun milik NFC dan Mohd Salleh, yang merupakan suami bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

[Baca berita asal]

Lihat Komen