malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pesara didenda RM5,000 buat komunikasi palsu terhadap Jakim
ADS

Seorang pesara didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana membuat komunikasi palsu terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui aplikasi Facebook miliknya, tiga tahun lepas.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Ranendar Bijoy Bhattacharyya, 66, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan warga emas itu menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil ‘Ranendra Bhattacharyya’, telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 23 Okt 2016.

Pautan itu telah dibaca di sebuah premis di Jalan P11, A2/6 , Presint 11, Putrajaya pada 8 malam, 23 Okt 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Norhani Mohamad Adzhar memohon hukuman setimpal mengambil kira kes yang diputuskan sebelum ini kerana kesalahan itu mendapat perhatian umum.

“Kami telah menerima aduan daripada orang awam dan pihak Jakim berhubung kes ini,” katanya.

OKS yang diwakili peguam William Edwin memohon hukuman denda minimum atas alasan dia yang menanggung isteri dan tiga anak telah insaf serta apa yang dimuat naik di Facebook telah dipadamkan.

Berdasarkan fakta kes, pada 9 Nov 2016 pihak SKMM telah menerima aduan daripada beberapa orang awam dan pegawai daripada Jakim mengenai satu kandungan berunsur jelik dan palsu terhadap Jakim.

- Bernama

Lihat Komen