malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adakah kita nak Jawi? Tolak Dr M yang rasis, kata calon MCA
Diterbitkan:  Nov 14, 2019 1:40 PM
Dikemaskini: 3:07 PM
ADS

PRK TG PIAI | Dua hari menjelang hari pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, calon BN Wee Jeck Seng merayu pengundi untuk menolak perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya rasis.

Menulis catatan di Facebook dalam bahasa Mandarin, Wee berkata langkah mengundi PH bermakna bersetuju dengan pelaksanaan Jawi di sekolah vernakular dan menyokong Himpunan Maruah Melayu.

“Keputusan PRK ini tidak dapat mengubah kerajaan, tetapi ia adalah penting dalam menilai prestasi Mahathir.

“Adakah kita nak khat Jawi? Adakah kita nak Himpunan Maruah Melayu? Adakah kita nak DAP terus berdiam diri?

“Sila pangkah undi anda untuk menolak Mahathir dan Bersatu rasisme,” kata Jeck Seng.

Untuk rekod, isu pembelajaran Jawi di sekolah venerkular menjadi kontrovesi dalam kalangan masyarakat Cina dan India pada Julai lalu.

Kemudian pada 8 Ogos, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan keputusan kabinet untuk menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Beliau berkata guru juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng  tidak berpuas hati kerana dikritik sebagai anti-Melayu dan pada masa sama dikatakan sebagai anti-Cina, serta membidas pembangkang kerana didakwanya memainkan isu perkauman.

Menjawab perkara itu, Wee membangkitkan kenyataan-kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Bersatu.

“Siapa kata Cina kaya? Mahathir. Siapa menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara? PH.

“Siapa kata dulu Melayu terlalu 'beri muka' dan tidak dapat berkompromi? Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof dari Bersatu.

“Siapa kata Bersatu adalah jurucakap orang Melayu? Lawan saya, Karmaine Sardini dari Bersatu.

“Siapa kata hanya orang Melayu tidak akan ditolak oleh syarikat swasta kerana tidak menguasai Bahasa Cina, barulah kita boleh bincang memansuhkan kuota Bumiputera di kelas matrikulasi? Menteri kasut hitam putih, Maszlee Malik.”

'MCA bantah Jawi, adakah ini perkauman?'

Sebaliknya, Jeck Seng menangkis dakwaan parti itu memainkan isu perkauman termasuk berhubung penentangannya terhadap pembelajaran tulisan Jawi.

“Pembangkang membidas Mahathir membelakangi janji dan memaksa PH melepaskan jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Adakah ini memainkan isu perkauman?

“MCA bersatu membantah tulisan Jawi dan mempertahankan Universiti Tunku Abdul Rahman. Adakah ini memainkan isu perkauman?

“Presiden MCA, Wee Ka Siong membawa isu kematian ikan di Kukup untuk dibahas di parlimen. Menteri terpaksa mengambil tindakan. Adakah ini rasis?”

Jeck Seng berpendapat Lim berdiam diri di hadapan “Mahathir yang rasis” tetapi menyerang pembangkang yang memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Md Farid Md Rafik, 42 pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia melibatkan pertandingan enam penjuru antara calon Wee, calon PH Karmaine Sardini; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Berjasa Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Lihat Komen