malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
India tawar biasiswa kepada 300 pelajar Malaysia
ADS

Kerajaan India menawarkan biasiswa penuh kepada 300 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian mereka, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata perkara itu disampaikan kepadanya oleh Menteri Pembangunan Sumber Manusia India Dr Ramesh Pokhriyal Nishank dalam pertemuan mereka pada Rabu, di luar Sesi ke-40 Persidangan Am Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai konstruktif dan membuahkan hasil, Maszlee berkata tawaran itu meliputi 200 biasiswa di bawah program Pengajian di India bagi mahasiswa meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang di India, manakala bakinya ditawarkan kepada 100 pelajar lepasan ijazah untuk mengikuti subjek Teknologi Maklumat di universiti berprestij mereka.

"Pertemuan dengan menteri paling kanan dalam kabinet India ini sangat berhasil. India bukan sahaja mahu memperbaharui kerjasama Malaysia-India dalam bidang pengajian tinggi, tetapi juga menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang berkenaan," katanya kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Selain India, Maszlee turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Azerbaijan Jeyhun Bayramov, yang menunjukkan minat untuk belajar daripada Malaysia tentang cara untuk menyediakan Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025, yang disifatkannya sebagai komprehensif dan holistik dalam semua perkara berkaitan pendidikan negara.

"Beliau (Bayramov) berminat untuk meneroka lebih banyak kerjasama dengan Malaysia selepas beliau berbincang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali ke-18 pada Oktober lepas.

"Beliau berminat dengan sistem pendidikan kita dan meninjau peluang untuk menghantar pelajar dari negara itu meneruskan pengajian peringkat siswazah di Malaysia," katanya, dan menambah, Malaysia tidak lama lagi akan mempelawa Azerbaijan untuk meneroka lebih banyak peluang pendidikan di Malaysia.

Undangan oleh wakil daripada Pasukan Petugas Antarabangsa Guru Bagi Pendidikan 2030 disampaikan kepada Maszlee untuk menghadiri mesyuarat meja bulat bersama-sama Menteri Pendidikan pada Forum Dialog Dasar ke-12, yang akan berlangsung Disember ini, di Emiriah Arab Bersatu.

- Bernama

Lihat Komen