malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peruntukan RM22j jadi 100k kerana sudah capai siling - menteri
ADS

PARLIMEN | Pengurangan ketara dalam peruntukan “kerja-kerja kecil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pelbagai negeri” dalam Belanjawan 2020 adalah disebabkan siling peruntukan telah dicapai, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar.

Hal itu dimaklumkan Jayakumar dalam sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat petang ini.

Terdahulu isu itu dibangkitkan oleh beberapa anggota parlimen semasa sesi perbahasan.

Katanya, peruntukan untuk butiran tersebut bagi tahun ini adalah sebanyak RM22 juta, namun untuk belanjawan tahun depan, ia diturunkan kepada hanya RM100,000 sahaja.

“Jawapannya ialah, dalam RMK-11 (Rancangan Malaysia ke-11), kos projek diluluskan untuk butiran 15000, kerja-kerja kecil JPS pelbagai negeri, adalah RM100 juta.

“Bagaimanapun, perbelanjaan bagi tahun 2016, 2017, 2018, dan 2019, sudah mencapai kos projek yang diluluskan. Ini bermakna siling peruntukan sudah habis,” jawabnya.

Untuk rekod, RMK-11 adalah sebahagian daripada pelan pembangunan lima tahun, dan merupakan pelan untuk jangka waktu 2016-2020.

Antara skop kerja yang tergolong dalam butiran kerja-kerja kecil JPS pelbagai negeri termasuklah penggalian parit dan sungai, membaik pulih benteng dan sebagainya.

Justeru, jelas Jayakumar, bagi membolehkan permohonan tambahan dibuat terhadap siling kos tersebut untuk 2020, token RM100,000 diletakkan bawah butiran tersebut.

Namun, Jayakumar meminta anggota parlimen tidak bimbang dengan peruntukan yang kecil tersebut, memandangkan beliau akan tetap memohon untuk tambahan peruntukan semasa sesi peruntukan tambahan pada bulan Mac tahun depan.

“Jangan takut. Bulan Mac (2020), saya akan minta.

“Saya tahu banyak (ahli parlimen) di sini minta saya tengok isu ini. Dan saya akan minta untuk satu jumlah yang munasabah dari Kementerian Kewangan dalam belanjawan bulan ketiga akan datang,” katanya lagi. 

Lihat Komen