malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rayuan ditolak, Razman tetap kena bayar pada Nizar
ADS

Usaha Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, merayu keputusan mahkamah berhubung saman fitnah dikemukakan pemimpin Amanah Perak sekali lagi gagal hari ini.

Hal itu kerana hakim Mahkamah Rayuan tetap berpihak kepada Mohammad Nizar Jamaluddin dan mengarahkan Razman membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 serta kos guaman RM10,000.

Perkara itu disahkan peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni, kepada Malaysiakini, petang ini.

Menurutnya, Razman - yang diwakili peguam Mohd Harris Abdullah - membawa hujah berkaitan penerbitan artikel oleh Sinar Harian berjudul "Tindakan Nizar mirip DAP" disiarkan pada bulan Jun 2015 dan menyatakan artikel itu adalah versi suntingan.

"Salah satu isu yang dikemukakan oleh peguam Razman hari ini ialah isu penerbitan.

"Razman mengaku bahawa wawancara itu dilakukan antara beliau dengan wartawan Sinar Harian berhubung kejadian kontroversi DUN Perak pada 2015.

"Adun Gunong Semanggol itu bagaimanapun menafikan bahawa kenyataan dilaporkan Sinar Harian diucapkan olehnya, namun tiada tindakan diambil oleh Razman terhadap Sinar Harian untuk membersihkan namanya," kata Mohd Fitri.

Alhamdulillah, teruskan

Menurut peguam itu lagi dalam penghujahannya pula, dia menegaskan bahawa tiada perubahan atau suntingan terlibat dalam artikel itu kecuali dengan kemas kini oleh editor.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak mengubah kenyataan asal Razman dan wartawan berkenaan berulang kali mengatakan bahawa dia menulis segala yang diucapkan oleh Razman dan tiada hak untuk menambah atau mengubah pernyataan.

Justeru dalam prosiding di hadapan tiga hakim diketuai Dr Badariah Sahamid itu mereka memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini yang menetapkan ganti rugi RM200,000 dengan kos RM10,000 kepada Nizar.

Dua hakim lain yang mendengar permohonan itu ialah Hasnah Mohammed Hashim dan Harmindar Singh Dhaliwal.


Baca PAS mungkin kutip derma lagi


Sebagai rekod kenyataan Razman terhadap Nizar itu disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak pada 2 Jun 2015.

Nizar adalah bekas pemimpin PAS Perak dan dilantik menjadi menteri besar di negeri itu selepas PRU 2008 sebelum kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan melalui gerakan mengejut di dewan undangan negeri.

Bersama pemimpin lain yang tidak sehaluan dengan kumpulan proulama, Nizar diketepikan dalam pemilihan PAS pada 2015.

Beliau kini menjadi Timbalan Pengerusi Amanah Perak.

Sementara itu Razman dalam reaksi segera terhadap keputusan itu mengakui dirinya diputuskan mahkamah memfitnah Nizar.

"Maaf Sahabat PH memang saya diputuskan mahkamah memfitnah Nizar dengan mengatakan Tindakan Nizar mirip DAP.

"Rupanya kalian pembela Islam bersama DAP. Alhamdulillah, teruskan," katanya yang juga bekas bendahari PAS Pusat dalam satu hantaran di Facebook petang ini.

Lihat Komen