malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shahidan: Promosi minyak sawit di Tg Piai buat apa?
ADS

PARLIMEN | Bagi menyelesaikan isu boikot minyak sawit oleh negara luar - khususnya negara Kesatuan Eropah (EU) - menteri yang berkenaan disaran pergi ke luar negara.

Menurut Shahidan Kassim (BN - Arau) menteri terbabit sepatutnya giat menjalin hubungan dengan ahli politik di negara yang tidak menerima minyak sawit, bukannya berada di Parlimen, atau lebih-lebih di Tanjung Piai.

“Sekarang ada negara - terutamanya negara (besar) cuba memboikot minyak sawit. Sepatutnya mereka ini tak ada di parlimen. Ini pergi Tanjung Piai, buat apa?" soalnya.

Shahidan berkata demikian semasa berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, pihak yang bertanggungjawab mempromosi dan memasarkan minyak sawit negara berada bawah Kementerian Industri Utama. Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, adalah mengetuai kementerian itu.

Menurut Shahidan lagi, lawatan menteri ke luar negara tidak sepatutnya bertujuan untuk meninjau pasaran baru semata-mata, tetapi perlu dibuktikan dengan termeterainya perjanjian jual beli minyak sawit dengan negara-negara tersebut.

Ahli parlimen ada kuasa

“Jadi saya minta menteri ni, lepas habis (sidang) parlimen, terus! Jangan ada muka kamu di Malaysia ini lagi. Pergi ke luar negara. Dan pergi berhubung terus.

"Menteri-menteri mesti berada di semua negara ini untuk buat promosi minyak sawit, bukan suruh minum dekat Malaysia.

"Kita minum satu botol satu hari pun tak mampu selesaikan masalah minyak sawit ni,” katanya.

Kata Shahidan, sebagai anggota jawatankuasa tetap Persidangan Antabangsa Parti Politik Asia (ICAPP) beliau selalu berjumpa ahli politik dan anggota parlimen negara luar untuk mempromosikan minyak sawit atas kapasiti peribadi.

Hal itu dilakukan, katanya, kerana beliau sedar ahli politik dan anggota parlimen mempunyai kuasa dalam EU.

“Sebab yang menguasai EU ini adalah parti politik. Hang pi jumpa siapa (pun) saya tak tahu. Ini (persidangan itu) anggota parlimen EU hadir, anggota parlimen Afrika hadir, dua bulan sekali kami buat konferens,” katanya.

Pada 17 Jan 2018, Parlimen EU meluluskan pindaan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Diperbaharui yang menyingkirkan minyak sawit daripada program biodiesel menjelang 2021.

Hal itu akan menjejaskan negara pengeluar minyak sawit utama seperti Indonesia dan Malaysia.

Pada 3 hingga 13 Mei lalu, Kok mengetuai misi promosi minyak sawit ke London, Brussels, Berlin dan Rom bagi berbincang dengan para pegawai dan pemegang kepentingan yang berpengaruh dari kalangan negara-negara anggota EU.

Sementara itu penggulungan bagi Kementerian Industri Utama dilakukan timbalan menterinya, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya). Kok pula difahamkan berada di Tanjung Piai untuk berkempen menjelang hari mengundi pada Sabtu ini.

Kata Shamsul Iskandar, kerajaan menyediakan data, fakta dan bukti saintifik yang tepat dan kukuh sebagai persediaan untuk kajian semula terhadap keputusan EU itu.


Baca Kempen Sayangi Sawitku untuk kesedaran, kata menteri


Katanya juga, Kementerian Industri Utama juga mempertimbangkan cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang menerusi mekanisme penyelesaian pertikaian (dispute settlement mechanism) terhadap EU yang didapati melanggar prinsip Pertubuhan Perdangan Dunia (WTO).

Mencelah ketika penggulungan Shamsul Iskandar, Shahidan masih berpendapat hubungan baik dengan anggota parlimen EU perlu diutamakan.

Malah dakwa Shahidan, ada anggota parlimen EU yang menyuarakan hasrat melihat sendiri pengurusan kelapa sawit negara.

“Jangan hanya kita berdebat di sini. Yang berdebat pula bukan tahu hujung pangkal, akhirnya kita hanya menang di sini. Di negara kita, kita menang. Tapi kita tewas di luar negara.

“Bawa mereka (wakil EU) ke sini dan bagi mereka tengok sendiri keadaan realiti, bahawa sebenarnya sawit ini diurus dengan baik,” katanya.

Lihat Komen