malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN: Sejak Hamid Bador jadi IGP, 252 polis ditahan kes dadah
ADS

PARLIMEN l Seramai 252 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan dan didapati positif mengambil dadah sejak Abdul Hamid Bador dilantik sebagai ketua polis negara, mulai 23 Mei lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman.

“PDRM sangat memandang serius mengenai masalah ini.

“Sehubungan itu, mana-mana pegawai atau anggota yang didapati terlibat atau disabitkan dengan kesalahan dadah akan menghadapi tindakan tatatertib …” katanya menjawab soalan oleh Lim Lip Eng (PH- Kepong) dalam sesi jawapan lisan.

Tindakan tersebut katanya termasuklah dari diberikan amaran, diturunkan pangkat, sehinggalah dibuang kerja, tertakluk kepada beberapa peraturan seperti Peraturan 33 dan 37 dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 (Kelakuan dan Tatatertib).

Abdul Hamid pernah terang-terangan menegur anggota polis supaya berani mengakui kesalahan yang telah sekian lama terpalit dengan amalan kesalahan, termasuklah penagihan dadah.

Sejak kebelakangan ini, penahanan dan pendakwaan kakitangan PDRM yang terlibat dengan dadah semakin kerap dilaporkan, antaranya, pendakwaan 19 anggota polis di mahkamah susulan penahanan mereka di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur bulan ini.

Jelas Azis, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melaksanakan program pemulihan kepada warga PDRM yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi kes-kes yang tidak dituduh di mahkamah kerana laporan ujian air kencing daripada patologi didapati negatif.

JIPS juga, katanya, akan membawa kakitangan yang terlibat berjumpa dengan pegawai perubatan untuk mengambil sampel darah atau air kencing sebagai pengesahan kedua sekiranya laporan patologi didapati negatif.

Dalam soalan susulannya, Lim menyifatkan jumlah 252 yang ditahan- atau lebih kurang 50 orang sebulan - itu adalah sesuatu yang “sungguh membimbangkan”, dan mencadangkan kementerian memberi ganjaran kepada kakitangan yang menyalurkan maklumat dalam kes penyalahguanaan dadah dalam PDRM.

Cadangan itu disambut baik oleh Azis dan menjelaskan perkara itu akan dibawa kepada perhatian kementerian.

Lihat Komen